Wanita ditahan jadi keldai akaun sindiket tawaran hadiah, barang berharga - Utusan Malaysia

Wanita ditahan jadi keldai akaun sindiket tawaran hadiah, barang berharga

SEORANG wanita ditahan polis Pulau Pinang kerana disyaki menjadi keldai akaun sindiket tawaran hadiah dan barang berharga dari luar negara membabitkan kerugian kepada mangsa sehingga RM38,000.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BALIK PULAU: Polis menahan seorang wanita kerana disyaki menjadi keldai akaun sindiket tawaran hadiah dan barang berharga dari luar negara membabitkan kerugian kepada mangsa sehingga RM38,000.

Menurut Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya, suspek berusia 49 tahun itu ditahan Selasa lalu di Kulim, Kedah melibatkan kes yang dilaporkan pada 2018.

“Suspek dipercayai telah menyerahkan kad bank dan butir-butir perbankan peribadi kepada individu lain melalui atas talian untuk dipinjamkan pada tahun 2018.

“Siasatan polis mendapati mangsa kerugian sebanyak RM38,000 dalam kes membabitkan wanita itu,” katanya di sini hari ini.

Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya berkata, suspek tersebut direman empat hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu.

“Pihak polis menasihatkan orang ramai sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat sindiket penipuan jual beli di laman sosial, pinjaman tidak wujud, pelaburan tidak wujud, parcel, love scam atau Macau scam melalui media sosial.

”Pihak polis juga menyarankan supaya membuat semakan terlebih dahulu ke atas nombor akaun yang diberikan oleh suspek di Portal Jabatan Siasatan Jenayah Komersil PDRM melalui link https://ccid.rmp.gov.my/semakmule atau juga boleh memuat turun di aplikasi Google Play Semak Mule CCID sebelum membuat sebarang transaksi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komissioner Soffian Santong berkata, polis menahan tiga suspek lelaki tempatan kerana disyaki terlibat dalam dua kes mencuri beg berjenama di pusat beli-belah di Persiaran Gurney dekat sini, pada 10 dan 21 Oktober lalu.

Katanya, polis menerima laporan berhubung kejadian kecurian dua buah beg berjenama bernilai RM2,989 itu dan hasil risikan berjaya menahan tiga lelaki tersebut yang dipercayai terlibat dalam kes itu.

“Suspek berusia 22 hingga 26 tahun dan tidak bekerja, mereka ditahan pukul 11.59 malam Selasa lalu di tepi Jalan Permatang Damar Laut, Batu Maung, bagi membantu siasatan kes ini.

“Siasatan awal mendapati seorang daripada suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah manakala dua lagi positif dadah,” katanya.

Tambahnya, kesemua suspek direman selama empat hari bagi membantu siasatan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya