PETALING JAYA: Pertandingan Fotografi 2023 bertemakan Malaysia Destinasi Pilihan Utama yang bermula pada 1 Oktober sehingga 23 Oktober ini menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM5,200 kepada para pemenang.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah NSP Production, Mohd. Fahmi Faiez Mohd. Nor Azmi berkata, objektif utama pertandingan ini adalah mempromosi budaya dan warisan Malaysia melalui lensa kamera.
“Kita ada dua kategori untuk pertandingan ini, pertama ialah menggunakan kamera digital single-lens reflex (DSLR) dan pemenang tempat pertama akan menerima hadiah berbentuk wang tunai RM1,000 dan saguhati RM100 kepada tujuh orang pemenang bertuah.
“Untuk kategori kedua menggunakan telefon bimbit, pemenang tempat pertama akan menerima wang tunai RM750 dan saguhati RM100 kepada tujuh orang pemenang bertuah,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian Pelancaran Pertandingan Fotografi 2023, di sini kelmarin.
Majlis perasmian pertandingan fotografi itu disempurnakan oleh bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Kebudayaan, Datuk Rashidi Hasbullah. Turut hadir Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Dr. Balachandran Gopal Krishnan.
Menurut Mohd. Fahmi Faiez, penyertaan percuma pertandingan dibuka kepada pelajar dari universiti awam atau swasta, manakala peserta luar dikenakan yuran RM30 dan para peserta bebas untuk menghantar seberapa banyak gambar.
“Semua boleh sertai pertandingan fotografi ini, mereka boleh tangkap dan hantarkan kepada kita melalui pautan yang terdapat pada poster pertandingan atau kod QR,” katanya.
Katanya, gambar-gambar yang bertemakan ‘Malaysia’ seperti fesyen, pelancongan dan makanan akan dinilai oleh juri-juri profesional yang berpengalaman dalam bidang fotografi.
“Setakat ini, kita sudah terima lebih daripada 100 penyertaan dan gambar-gambar yang dihantar memang cantik dan mempunyai makna Malaysia yang tersendiri,” katanya.
Pertandingan fotografi itu hasil penganjuran bersama NSP production serta Persatuan Peragawati dan Peragawan Fesyen Malaysia (MFMPA) akan berakhir pada 23 Oktober ini dengan pengumuman pemenang pada 29 Oktober di Subang Parade.
Pelbagai aktiviti menarik akan dianjurkan pada 29 Oktober nanti seperti bengkel fotografi dan pameran foto. – UTUSAN