PETALING JAYA: Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan akan dituduh lagi di Mahkamah Kuala Lumpur di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA), hari ini
Bekas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, beliau akur dan menerima arahan untuk hadir ke Mahkamah Kuala Lumpur pada pukul 8.30 pagi.
Menurutnya, beliau dimaklumkan terdapat pertuduhan baharu akan dikenakan terhadapnya di bawah akta AMLA.
“Butiran pertuduhan masih belum jelas setakat ini.
“Saya akan hadir untuk mempertahankan diri dan saya yakin mahkamah adalah tempat terbaik untuk saya mendapatkan keadilan,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.
Pada masa sama, Wan Saiful turut berterima kasih kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang disifatkan menjalankan tanggungjawab mereka dengan berhemah dalam melakukan soal siasat terhadapnya.
Wan Saiful kini menghadapi perbicaraan berhubung dua pertuduhan iaitu meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.92 juta berkaitan projek Jana Wibawa.
Dalam pertuduhan pertama, Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu didakwa meminta suapan sebagai dorongan membantu syarikat Nepturis Sdn. Bhd. mendapatkan projek pembinaan Lebuhraya Central Spine Road (CSR) dari Sertik ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur.
Mengikut pertuduhan kedua, Wan Saiful dituduh menerima suapan berjumlah RM6.92 juta menerusi akaun syarikat WSA Advisory Group Sdn. Bhd. Bank CIMB cawangan Bukit Tunku, Taman Tunku di sini, 8 Julai 2022.
Wang berkenaan, dipindahkan dari akaun Maybank Islamic Bhd. kepada akaun syarikat milik tertuduh dipercayai sebagai upah mendapatkan Surat Setuju Terima (SST) bagi projek Lebuhraya CSR bernilai RM223 juta.
Bagaimanapun, beliau mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan tersebut
Kedua-dua pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama. – UTUSAN










