UMT perkenal hadiah kecemerlangan wakaf ilmu

UMT perkenal hadiah kecemerlangan wakaf ilmu

NURIN FAQIHAH MAHADI (tengah) bersama Dr Mazlan Abd Ghaffar (dua, kanan) dan ketiga tiga timbalan naib canselor UMT di Kuala Nerus baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS : Universiti Malaysia Terengganu (UMT) buat julung kalinya memperkenalkan hadiah Kecemerlangan Wakaf Ilmu UMT yang berupa hadiah plat emas sempena Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Kali Ke 21. 

Pengiktirafan ini diberikan kepada lima graduan yang menerima Anugerah Naib Canselor bertujuan untuk mengiktiraf kecemerlangan pelajar dan sebagai motivasi agar graduan terus menyumbang kepada masyarakat dan negara.

Menurut kenyataan Komunikasi Korporat universiti berkenaan, graduan Sarjana Muda Pengurusan Operasi Maritim,  Nurin Faqihah Mahadi, 22, yang juga penerima Anugerah Naib Canselor seterusnya melayakkan beliau menerima plat emas seberat satu (1) gram itu menyifatkan pengiktirafan ini adalah pembakar semangat untuknya dan rakan-rakan meneruskan kecemerlangan seterusnya menabur bakti kepada masyarakat di luar sana.

Kata kenyataan itu lagi, Nurin Faqihah yang berasal dari Kuala Berang, Terengganu memperoleh Purata Gred Kumulatif (CGPA) 3.96 bukan sahaja cemerlang dalam akademik malah bergiat aktif dalam persatuan terutamanya yang melibatkan aktiviti-aktiviti bersama komuniti dan kesukarelawanan.

“Untuk rekod pada tahun 2017, Sultan Terengganu telah memberi perkenan kepada UMT sebagai salah satu institusi pendidikan di Terengganu yang diberi kuasa untuk menjalankan Wakaf Ilmu UMT dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM). 

“Dengan tekad dan amanah yang diberi, UMT komited menyebarkan kesedaran berwakaf di kalangan warga serta menjalin kerjasama strategik dalam perancangan projek wakaf korporat bagi merancakkan lagi kutipan wakaf ilmu,“ kata kenyataan itu.

Menurut Naib Canselor UMT, Prof. Datuk  Dr. Mazlan Abd Ghaffar, objektif Wakaf Ilmu UMT adalah untuk mewujudkan satu bentuk infrastruktur kewangan yang lestari bagi membantu menjaga kebajikan pelajar UMT khususnya dan keseluruhan warga UMT secara amnya.

Agihan manfaat Wakaf Ilmu UMT disalurkan untuk pembiayaan pembangunan keilmuan, pembelajaran, pengajaran, penyelidikan dan kebajikan pelajar-pelajar UMT.

“Alhamdulillah pada tahun ini julung-julung kalinya, hadiah Kecemerlangan Wakaf Ilmu UMT diperkenalkan sempena Majlis Konvokesyen ke- 21. Tajaan hadiah Kecemerlangan Wakaf Ilmu ini adalah hasil hibah sumbangan tunai Wakaf Ilmu UMT. 

Menurut Mazlan lagi, hasil dari wakaf tunai ini beberapa agihan manfaat telah dilaksanakan oleh Wakaf Ilmu UMT, antaranya pembelian 2 unit van wakaf yang boleh digunakan oleh semua warga UMT, penempatan 16 unit mesin penapis air di beberapa lokasi strategik dalam UMT melibatlkan sebanyak 10,000 pelajar dapat bekalan air bersih sepanjang pengajian di UMT dan sumbangan bantuan Pelan Data Internet sebanyak RM100.00 seorang kepada 100 pelajar UMT.

Mazlan turut menyeru para graduan, ibu bapa dan orang ramai untuk teruskan berwakaf ke Tabung wakaf Ilmu UMT demi kecemerlangan ilmu dan kelestarian kebajikan pelajar UMT. Wakaf tunai ini akan dimanfaatkan kepada semua lapisan pelajar UMT yang memerlukan.

Selain itu, atas sifat ehsan dermawan dan keprihatinan Tuanku Canselor UMT, Sultanah Nur Zahirah terhadap kebajikan para pelajar, Akaun Amanah Tuanku Canselor telah ditubuhkan bertujuan membantu dalam menjaga kebajikan pelajar yang kurang berkemampuan dan golongan yang memerlukan. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN