Ular sawa 80kg telan beruk peliharaan penduduk

Ular sawa 80kg telan beruk peliharaan penduduk

ANGGOTA APM Baling berjaya menangkap seekor ular sawa yang membaham seekor beruk peliharaan penduduk di Kampung Sera Ulu, Baling.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Seekor ular sawa seberat hampir 80 kilogram (kg) membaham seekor beruk peliharaan penduduk di dalam kandang yang terletak di belakang rumahnya di Kampung Sera Ulu, semalam.

Abdul Majid Ishak, 66, berkata, kejadian disedari kira-kira pukul 8.30 pagi ketika dia hendak memberi makanan kepada beruk terbabit.

“Seperti biasa setiap pagi saya akan bawa nasi untuk diberi makan beruk yang saya pelihara sejak enam tahun lalu. Saya sediakan kandang khas untuknya berteduh dan tidur.

“Saya terkejut apabila mendapati beruk berkenaan tiada, puas dicari merata tempat dan akhirnya terjumpa seekor ular sawa yang besar sedang memuntahkan beruk peliharaan saya di sebalik semak berhampiran rumah,” katanya ketika ditemui di sini.

Kata Abdul Majid, bimbang kejadian itu mendatangkan bahaya kepada dirinya serta ahli keluarga, dia segera menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Baling untuk menangkap reptilia itu.

“Saya juga hilang mata pencarian kerana beruk ini banyak jasanya, sentiasa membantu saya memetik buah kelapa untuk dijual,” katanya.

Sementara itu, Pegawai APM Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd. Faizol Aziz berkata, empat anggota APM bergegas ke lokasi kejadian setelah menerima panggilan daripada penduduk.

“Hujan lebat sejak kebelakangan ini dipercayai menjadi punca semakin banyak kes ular bersaiz besar menceroboh masuk kawasan rumah penduduk. Bulan ini sahaja APM Baling menerima 65 kes berkaitan penemuan ular pelbagai spesis.

“Dalam operasi menangkap reptilia itu semalam, kita menggunakan alatan khas dan berjaya menangkap ular yang panjangnya kira-kira tujuh meter,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, orang awam dinasihatkan supaya berhati hati dengan keadaan sekeliling dan sebarang kecemasan boleh menghubungi APM Baling di talian 04-4701626 atau 999 untuk mendapatkan bantuan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN