Tukang gunting rambut direman kes buang bayi

Tukang gunting rambut direman kes buang bayi

SUSPEK dibawa ke mahkamah bagi mendapatkan perintah reman di Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang tukang gunting rambut direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes penemuan bayi perempuan yang ditinggalkan di tepi jalan berhampiran ladang getah Kampung Datuk Syed Ahmad, di Pendang, kelmarin.

Perintah tahanan reman terhadap lelaki berusia 20-an itu dikeluarkan Majistret Siti Noorhidayah Mohd. Noor di Mahkamah Alor Setar, hari ini.

Terdahulu, suspek yang berpakaian lokap dibawa ke mahkamah pada pukul 8.41 pagi dengan menaiki kenderaan polis.  

Semalam, akhbar ini melaporkan penemuan bayi tersebut yang dipercayai baru dilahirkan dan masih bertali pusat dan uri di tepi jalan.

Ketua Polis Daerah Pendang, Superintenden Arriz Sham Hamezah memaklumkan, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan bayi itu pada pukul 7.05 petang.

Bayi itu yang masih memiliki kesan darah, dibalut dengan kain batik serta tuala dan diletakan dalam bakul.

Susulan itu, polis menahan dua individu terdiri daripada seorang lelaki dan seorang perempuan yang dipercayai ibu bayi berkenaan di Sik, semalam.

Sementara itu, Arriz Sham memaklumkan, ibu bayi berkenaan yang juga berusia 20-an dilepaskan dengan jaminan polis kerana keadaan kesihatannya yang baru lepas bersalin.

Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan iaitu mendedahkan dan membuang kanak-kanak yang umurnya kurang daipada 12 tahun oleh ibu bapa atau penjaganya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN