PUTRAJAYA: Tragedi tanah runtuh di Batang Kali, Selangor yang mengorbankan 31 nyawa pada 16 Disember tahun lalu berpunca daripada hujan lebat yang kemudiannya menyebabkan kegagalan cerun.
Perkara itu diperakui menerusi Laporan Siasatan Berkaitan Tragedi Tanah Runtuh di Batang Kali, Selangor yang dibentangkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) Bilangan 2, semalam.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kegagalan cerun itu menyebabkan tapak perkhemahan meliputi Kawasan Hill View, Farm View dan River Side tertimbus dengan sisa runtuhan tanah sehingga menyebabkan kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa.
Menurutnya, hasil analisis forensik mendapati kejadian hujan adalah faktor pencetus utama tragedi runtuhan itu.
“Analisis mendapati kombinasi jumlah hujan (Major Rainfall Kumulatif) bagi tempoh lima hari dan hujan Anteseden (Anteseden Rainfall) kumulatif 30 hari dikesan sebelum runtuhan berlaku yang masing-masing 118.6mm dan 444.8mm,” katanya.
Katanya, siasatan lanjut juga tidak menemui sebarang bukti kukuh menunjukkan aktiviti antropogenik sebagai salah satu faktor penyumbang kepada kejadian tanah runtuh itu.
Ahmad Zahid berkata, laporan penuh JKKTR boleh diakses oleh orang ramai melalui laman sesawang Nadma, https://www.nadma.gov.my, mulai 10 pagi ini..
Kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali pada 16 Disember 2022 adalah kejadian kedua terbesar melibatkan jumlah mangsa maut selepas runtuhan Kondominium Highland Towers pada 1992 yang mengorbankan 48 nyawa.
Tragedi pada kira-kira pukul 2.30 pagi itu, membabitkan 92 mangsa, dengan 61 daripadanya terselamat manakala 31 lagi terkorban, selepas berlaku runtuhan tanah hingga menimbus kawasan perkhemahan. – UTUSAN










