TNC UiTM jalankan fungsi Naib Canselor - Utusan Malaysia

TNC UiTM jalankan fungsi Naib Canselor

Naib Canselor
MUHAMAD Nizam Noordin dalam sidang akhbar selepas Majlis Penutup International Millennipreneur Innovation And Commercialization Exhibition 2023 dan tandatangan Memorandum Persefahaman antara Bank Islam dengan Kementerian Pengajian Tinggi di UiTM Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa (HEA) Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof. Datin Dr. Suzana Sulaiman dilantik menjalankan fungsi Naib Canselor universiti itu berkuatkuasa hari ini.

Pendaftar UiTM, Muhamad Nizam Noordin berkata, perlantikan tersebut dibuat apabila Prof. Datuk Dr. Roziah Mohd. Janor bersara wajib berkuat kuasa hari ini selepas memegang jawatan tersebut sejak Ogos 2021.

“Suzana menjalankan fungsi sebagai Naib Canselor ketika ini, sehingga Naib Canselor baharu dilantik,” katanya pada sidang akhbar, hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan 11 nama termasuk bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik disebut-sebut bakal menerajui UiTM bagi menggantikan Roziah yang tamat perkhidmatannya semalam.

Bagaimanapun, mereka perlu melalui Lembaga Pengarah Universiti (LPU) sebelum dicadangkan kepada Kementerian Pendidikan tinggi untuk dipilih memasuki proses temuduga sebelum dilantik menerusi penyerahan watikah.

Dalam pada itu, Muhamad Nizam menjelaskan, proses pemilihan Naib Canselor universiti kini di peringkat kementerian, namun beliau enggan mengesahkan jumlah dan identiti calon yang akan melalui temuduga.

“Kita ada tatacara yang diikuti daripada kementerian (Kementerian Pengajian Tinggi) bermula dengan pengiklanan, saringan seterusnya ke proses di peringkat Lembaga Pengarah Universiti (LPU). 

“Proses itu kemudian terus ke peringkat kementerian. Sekarang ini, (pemilihan Naib Canselor) sudah berada di peringkat kementerian. Kita serahkan kepada kementerian (berkenaan pemilihan dan tempoh) yang mana di peringkat universiti, kita sudah mengikut tatacara dan proses yang perlu dilaksanakan,” ujarnya.

Untuk rekod Roziah merupakan wanita pertama dilantik menjadi Naib Canselor UiTM yang memiliki 34 cawangan di seluruh negara dengan jumlah mahasiswanya seramai 189,000 serta 18,000 kakitangan akademik dan pentadbiran.

Beliau mula menjawat jawatan tersebut pada September 2021 selepas menjalankan fungsinya (memangku) sejak Mac tahun sama ketika menjadi Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa (HEA).

Roziah yang mempunyai kepakaran dalam bidang matematik sudah berkhidmat dengan UiTM selama 33 tahun sebelum dilantik menjadi Naib Canselor UiTM Ke-6 menggantikan Prof. Emeritus Datuk Dr. Mohd. Azraai Kassim yang bersara pada Mac 2021 – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya