ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri beranggapan tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengenakan kompaun terhadap pemilik kenderaan yang melakukan kesalahan meletak kenderaan di luar pagar seperti yang tular di media sosial baru-baru ini sebagai wajar.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, hal itu kerana tindakan dikenakan terhadap pemilik kenderaan itu dibuat berdasarkan aduan awam diterima PBT berkenaan.
Menurut beliau, pemilik kenderaan juga telah diberikan nasihat sebanyak tiga kali, namun dia tetap melakukan kesalahan sama menyebabkan tindakan kompaun diambil selepas pertimbangan dibuat.
“Undang-undang ini bukan perkara baharu dan tidak hanya terpakai di Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) sahaja, sebaliknya kesemua 16 PBT di Johor mempunyai undang-undang sama.
“Cuma tindakan penguat kuasaan dibuat setelah mengambil kira beberapa faktor, antaranya aduan awam dan kewajaran tindakan sedemikian diambil.
“Dalam kes yang tular di media sosial baru-baru ini, pemilik kenderaan tersebut telah diberikan nasihat untuk tidak mengulangi perbuatan itu sebanyak tiga kali, sebelum kompaun dikeluarkan,” katanya kepada pemberita.
Tambah Mohd. Jafni, tindakan penguatkuasaan itu juga diambil dengan mengambil kira peningkatan aduan diterima MBPG berhubung isu berkenaan sejak tahun lalu.
“Pada tahun 2022, MBPG telah menerima sebanyak 242 aduan melibatkan kesalahan meletak kenderaan di hadapan kediaman pemilik lain atau di kawasan menghalang laluan awam manakala sehingga September tahun ini, sebanyak 349 aduan sama diterima.
“Jumlah aduan ini semakin meningkat dengan purata antara 40 hingga 50 aduan diterima setiap bulan. Tindakan penguatkuasaan yang tular itu merupakan satu-satunya tindakan yang diambil terhadap lebih 600 aduan diterima MBPG dalam tempoh dua tahun ini.
“Jadi tindakan itu bukan semata-mata kerana pemilik kenderaan meletak kereta di hadapan rumah masing-masing, tetapi sebaliknya apabila aduan awam dan siasatan dibuat mendapati ada justifikasi bagi pemberian kompaun,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan telah berlaku salah faham berhubung isu berkenaan sehingga menyebabkan ia menjadi tular di media sosial sedangkan realitinya adalah berbeza.
“Setelah masyarakat diberikan kefahaman atas tindakan kompaun itu, kita terima banyak maklum balas positif dengan orang ramai mengalu-alukan tindakan tersebut kerana menurut mereka, terdapat banyak kenderaan yang diletakkan di kawasan tidak sepatutnya.
“Ini termasuklah di laluan sempit atau persimpangan jalan sehingga menyukarkan bas atau van sekolah untuk lalu, termasuklah lori pembersihan dan lain-lain,” jelasnya.
Beberapa hari lalu, tular satu notis pemberitahuan MBPG yang menyatakan larangan meletakkan kenderaan di hadapan rumah termasuk di luar pagar sehingga mendapat pelbagai reaksi penduduk Pasir Gudang, termasuk kepimpinan politik. –UTUSAN