PETALING JAYA: Tiga maut manakala seorang parah dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan berhampiran Serendah Golf Resort, Jalan Kuala Kubu Bharu Rawang-Bukit Beruntung dekat sini hari ini.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.06 pagi dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dengan bantuan BBP Rawang dikejarkan ke lokasi kejadian.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, seramai 10 anggota dan pegawai dikejarkan ke lokasi kejadian.
Katanya, kemalangan melibatkan dua kenderaan iaitu Toyota Avanza dan Perodua Axia.
“Seorang lelaki dipercayai memandu Toyota Avanza maut manakala wanita dalam kenderaan itu parah serta dua mangsa dalam Perodua Axia disahkan meninggal dunia.
“Mangsa yang parah diserahkan kepada pihak hospital untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk proses bedah siasat. -UTUSAN