Tiga faktor punca ringgit jatuh termasuk isu semasa Palestin

Tiga faktor punca ringgit jatuh termasuk isu semasa Palestin

AHMAD MASLAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Terdapat tiga faktor luaran yang mendorong kepada penurunan prestasi nilai ringgit tahun ini.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, faktor luaran pertama berkaitan dengan jangkaan bahawa Kadar Dana Persekutuan (FFR) Amerika Syarikat (AS) iaitu kadar dasar semalaman (OPR) akan kekal lebih tinggi untuk tempoh yang lebih lama.

Katanya, ia menjadi antara punca prestasi pertukaran nilai ringgit dan dolar AS merosot sehingga 7.67 peratus sejak awal tahun sehingga kini.

“FFR AS berada pada 5.5 peratus manakala Malaysia 3.0 peratus dalam keadaan mereka sedang berusaha mengawal inflasi. Malaysia mencatatkan 1.9 peratus inflasi manakala AS catat 3.7 peratus.

“Walaupun mereka naikkan FFR, inflasi mereka masih tinggi, inflasi kita terpulang kepada Bank Negara untuk melaksanakan urusan seterusnya mengenai OPR tetapi inflasi kita daripada 2.0 semakin turun kepada 1.9, jadi, untuk menaikkan OPR sudah tidak lagi relevan,” katanya ketika sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, faktor luaran kedua dan ketiga dipengaruhi dengan prestasi ekonomi China serta konflik geopolitik antara Palestin dan Israel.

“Prestasi ekonomi China yang lebih lemah daripada jangkaan serta pelonggaran dasar monetari oleh Bank Rakyat China yang menyebabkan sentimen pelabur yang negatif terutamanya di rantau Asia Tenggara.

“Terkini, kebimbangan yang meningkat berhubung dengan kemungkinan ketegangan geopolitik di Asia Barat yang semakin meruncing juga menyumbang kepada nilai AS semakin kukuh,” katanya.

Katanya lagi, faktor lain seperti faktor bekalan termasuk harga komoditi global dan permintaan dalam negeri juga boleh mempengaruhi harga barangan.

“Dalam tempoh kebelakangan ini, inflasi menjadi sederhana didorong oleh faktor-faktor kos yang semakin berkurangan. Perkembangan ini sebahagiannya membantu membendung kesan pergerakan ringgit terhadap harga barangan,” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) mengenai komitmen terkini pihak kerajaan dalam soal penurunan nilai ringgit dan mengawal kadar pertukaran wang asing.

Justeru, katanya, kerajaan mengambil langkah lebih holistik seperti mengawal harga barangan keperluan bagi membantu rakyat menangani kos sara hidup yang meningkat dan mengambil usaha untuk memastikan bekalan barangan kekal mampan.

“Bagi menangani kemeruapan dalam pasaran pertukaran asing, Bank Negara akan terus menguruskan risiko daripada perkembangan domestik dan luaran serta bersedia untuk menggunakan instrumen dasar operasinya bagi memastikan keadaan pasaran yang teratur,” katanya.

Setakat ini, kerajaan sedang berusaha menjayakan Rangka Kerja Penyelesaian Mata Wang Tempatan (LCSF) bagi menggalakkan pertukaran mata wang ringgit dengan mata wang selain dolar AS.

Penggunaan renminbi dan ringgit dalam transaksi perdagangan antara Malaysia dan China menunjukkan peningkatan ketara dari hanya tiga peratus pada 2012 kepada kira-kira 17 peratus pada 2022.

Setakat Ogos 2023, peratusan itu terus meningkat kepada 25 peratus iaitu RM39.2 bilion daripada jumlah dagangan antara Malaysia dan China secara keseluruhan iaitu RM157 bilion.

Mata wang tempatan dua hala antara Malaysia dan Thailand pula menunjukkan peningkatan dari 12.8 peratus dari 2016 ke 19.6 peratus iaitu RM8.2 bilion daripada jumlah dagangan berjumlah RM42 bilion setakat Ogos 2023.

Mata wang tempatan dua hala antara Malaysia dan Indonesia pula menunjukkan peningkatan dari 12.5 peratus pada 2017 ke 16.7 peratus setakat Ogos 2023 iaitu RM10.7 bilion daripada jumlah dagangan bernilai RM64 bilion.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya