PETALING JAYA: Malaysia perlu bertegas dan tidak tunduk kepada ancaman Israel serta rakan sekutunya susulan kelantangan Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahan nasib rakyat Palestin yang terus dizalimi zionis.
Walaupun bakal berdepan kesan dalam perhubungan perdagangan dan pelaburan dari negara-negara pro-Israel, Malaysia boleh mencari peluang kerjasama dengan kuasa-kuasa besar lain seperti China dan Russia.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Menteri Luar, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, negara ini perlu tegas dalam isu Palestin kerana mempunyai asas yang kukuh berbuat demikian dengan tidak menyokong sebarang tindakan kezaliman dan genosid terhadap penduduk Gaza.
Malah katanya, Malaysia sebuah tanah air berdaulat sekali gus mana-mana negara lain tidak boleh mencampuri urusan dalaman termasuk keputusan mempertahan Palestin daripada terus diceroboh zionis.
Oleh demikian beliau berkata, keputusan kerajaan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri merupakan tindakan yang sangat wajar untuk menyokong Palestin dan tidak gentar dengan ugutan mahupun sekatan oleh pihak tertentu.
“Kita merupakan sebuah negara bebas dan tidak menyokong mana-mana kezaliman dan pembersihan etnik. Jadi, negara ini mempunyai asas kukuh berhubung isu Palestin yang menyaksikan tanah air mereka diceroboh manakala kanak-kanak dan wanita dibunuh. Maka, mana-mana negara tidak boleh mendesak kita melakukan sesuatu di luar batas kemanusian.
“Justeru, Malaysia tidak perlu tunduk atau patah balik dalam ketegasan mempertahan Palestin walaupun menerima ancaman pihak-pihak luar yang tidak bersetuju dengan pendirian itu, khususnya dalam kalangan negara bersekongkol bersama Israel,” katanya ketika dihubungi semalam.
Kelmarin, Perdana Menteri mendedahkan bahawa Malaysia menerima ugutan daripada pemimpin negara Eropah berhubung kelantangan mempertahankan Palestin.
Anwar kemudian menegaskan Malaysia tidak sekali-kali patah semangat dan tidak menghiraukan sebarang ugutan daripada mana-mana pihak agar sekatan dibuat terhadap negara ini.
Dalam pada itu, Syed Hamid mengakui sebarang ugutan tersebut boleh menjejaskan hubungan perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan pihak pro-Israel, namun negara ini perlulah menerokai peluang baharu bersama kuasa besar lain yang tidak cenderung kepada Zionis.
Katanya, tekanan yang dikenakan terhadap negara menyokong pembebasan Palestin sudah menjadi lumrah apatah lagi sikap itu amat bertentangan dengan dasar Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya yang menyokong serangan dilakukan Israel.
“Namun, kita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada pihak pro Israel, sedangkan ada negara lain yang tidak menyokong kezaliman Israel. Jadi, kita perlu mengeratkan dan mengukuhkan kerjasama dengan kuasa besar lain termasuk dalam kalangan mereka membantah keganasan zionis,” katanya.
Pada masa sama, Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Dr. Azmi Hassan berkata, Malaysia berdepan kesan kecil terhadap ugutan pemimpin negara Eropah sedangkan banyak negara Barat dan syarikat besar yang amat bersimpati nasib penduduk Gaza.
Katanya, selain itu negara juga tidak bergantung sangat kepada kuasa besar kepada pro Israel sama ada dari segi soal ketenteraan, geopolitik dan ekonomi.
“Jadi, saya melihat kita tidak perlu bimbang kerana kesan negatif tidak berlaku atau jika terjadi sekalipun, impaknya adalah kecil. Hakikatnya kita tidak boleh berdiam diri dalam hal ini, kerana rakyat Palestin dan penduduk Gaza lebih merasai seksaan berbanding bakal tekanan kita akan terima.
Bagaimanapun, katanya, semua negara Islam termasuk Malaysia perlu bersedia menghadapi sebarang tindak balas dan tekanan ekoran kelantangan dalam memperjuangan kesengsaraan penduduk Palestin akibat kezaliman berterusan oleh pihak zionis. – UTUSAN