KOTA KINABALU: Masalah ketiadaan lampu jalan sudah dibangkitkan berkali-kali namun, sehingga sekarang tiada sebarang usaha untuk memasang lampu jalan di sepanjang laluan Keningau ke Nabawan.
Jalan sepanjang 70 kilometer itu digunakan setiap hari oleh penduduk di pedalaman Sabah berkenaan namun, tidak pernah dibekalkan dengan lampu jalan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Alimudin Lasuri, 37, berkata, isu lampu jalan di sepanjang laluan itu sudah lama disuarakan tapi, tiada sebarang tindakan bagi memasang lampu jalan di sepanjang jalan Persekutuan tersebut.
“Laluan ini berbukit bukau, ketiadaan lampu jalan memberi risiko kepada pengguna jalan raya terlibat dengan kemalangan.
“Cukup mengecewakan apabila rakyat yang berada jauh di pedalaman dipinggirkan daripada menikmati kemudahan awam yang baik,” katanya.
Dia ang berasal dari Kampung Keramtoi, Sook itu berkata, selain masalah lampu jalan, mereka juga berhadapan dengan masalah jalan belum berturap.
Maka, setiap kali musim hujan, penduduk akan berhadapan dengan kesukaran untuk keluar ke Pekan Nabawan atau Keningau, terutama mereka yang menggunakan kenderaan kecil.
Katanya, kenderaan tersangkut dalam lumpur sudah menjadi lumrah bagi penduduk Sook yang ingin keluar ke bandar.
“Setiap kali musim pilihan raya, banyak pihak berjanji untuk menaik taraf jalan-jalan kampung di sini tapi, selepas pilihan raya tamat, tiada pihak yang datang untuk mengotakan janji,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin berkata, jalan di sepanjang laluan Nabawan ke Keningau itu berada di bawah jalan Persekutuan jadi, peruntukan pemasangan lampu jalan adalah dari Persekutuan.
“Kita sudah utarakan mengenai lampu-lampu jalan ini dalam mesyuarat tindakan daerah. Kalau tidak dipasang di sepanjang jalan sekali pun, kita harap lampu jalan boleh dipasang di kawasan berbahaya seperti selekoh bagi mengelakkan risiko kemalangan.
“Mungkin boleh mempertimbangkan pemasangan lampu solar di jalan-jalan utama yang berada di bawah tanggungjawab Persekutuan yang diselenggara melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah,” katanya.-UTUSAN