Terengganu teliti keperluan ADUN lantikan  - Utusan Malaysia

Terengganu teliti keperluan ADUN lantikan 

AHMAD SAMSURI MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu masih mempertimbangkan untuk melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan yang akan menjalankan fungsi semak dan imbang dalam hal ehwal pengurusan pentadbiran di negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, buat masa ini, pihaknya masih meneliti keperluan lantikan itu dengan berpandukan kriteria yang ditetapkan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.

Menurutnya, jumlah maksimum ADUN lantikan ialah empat orang mengikut undang-undang tersebut.

“Untuk ADUN lantikan ini, kita akan pertimbangkan beberapa perkara dengan lebih terperinci berdasarkan kriteria-kriteria yang ada dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri. 

“Kita masih pertimbang dan tidak menolak kemungkinan pelantikan tersebut, malah ketika ini sedang meneliti dan melihat keperluannya dalam tempoh terdekat ini,,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2023 peringkat negeri di sini, hari ini.

Pada Pilihan Raya Negeri 12 Ogos lalu, gabungan Perikatan Nasional (PN) iaitu Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mencipta sejarah apabila menyapu bersih kesemua 32 kerusi DUN di Terengganu.

Susulan itu, banyak pihak terutama penganalisis politik yang menekankan keutamaan untuk kerajaan negeri melantik ADUN lantikan untuk memastikan tadbir urus yang baik dapat diwujudkan di Terengganu.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri menegaskan rakyat sendiri boleh menjalankan fungsi semak dan imbang terhadap kerajaan negeri dan bebas mengkritik serta membuat teguran sekiranya terdapat kekurangan yang perlu diperbaiki. 

“Kita ada pelbagai medium untuk salurkan pendapat. Setiap agensi dan jabatan mereka ada sistem perhubungan masing-masing untuk memudahkan rakyat.

“Sama ada melalui apa jua portal atau website yang menerima pandangan-pandangan, kritikan atau teguran yang disalurkan mengikut saluran yang betul,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN