Tempoh perkhidmatan AJK masjid di Terengganu dilanjut - Utusan Malaysia

Tempoh perkhidmatan AJK masjid di Terengganu dilanjut

SHAIKH HARUN SHAIKH ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU : Tempoh perkhidmatan semua ahli jawatankuasa (AJK) di 510 masjid di seluruh Terengganu yang telah tamat pada 30 September lalu akan dilanjutkan sehingga 31 Disember depan.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, langkah itu diambil setelah mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Menurutnya, kesemua AJK masjid itu telah dimaklumkan mengenai lanjutan tempoh perkhidmatan mereka yang disambung selama tiga bulan lagi.

“Memang tempoh perkhidmatan mereka tamat pada 30 September namun disebabkan beberapa kekangan waktu disebabkan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berlangsung 12 Ogos, Maidam tidak berkesempatan menguruskan lantikan AJK masjid yang baharu.

“Susulan itu, satu mesyuarat telah diadakan Maidam dan keputusan itu seterusnya dipersembahkan kepada Sultan Mizan dan mendapat perkenan baginda untuk melanjutkan tempoh perkhidmatan AJK masjid sedia ada,” katanya dalam sidang media di kompleks pentadbiran Maidam di sini hari.

Beliau memberitahu, AJK baharu masjid akan dilantik bermula 1 Januari 2024 sehingga 31 Disember 2026 dengan tempoh perkhidmatan selama tiga tahun.

Dalam pada itu, ditanya mengenai cadangan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi agar Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dilibatkan dalam proses pelantikan jawatankuasa masjid di Terengganu pula, Shaikh Harun berkata, pemilihan AJK mempunyai beberapa kriteria yang perlu diberi keutamaan.

Menurutnya, setiap masjid tidak boleh mempunyai lebih 16 orang AJK untuk tujuan pengurusan dan pentadbirannya.

“Daripada jumlah itu, pelantikan 10 orang AJK adalah tertakluk kepada budi bicara Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, M Rozi Bidin termasuk jawatan Pengerusi, Timbalan Pengerusi, Setiausaha dan Bendahari.

“Selain itu, sekurang-kurangnya empat AJK mesti dilantik dalam kalangan wanita dan belia kerana mereka adalah golongan yang selalu mengimarahkan masjid di Terengganu.

“Bakinya, enam lagi AJK pula adalah hasil pemilihan oleh anak mukim di sesebuah masjid kerana mereka lebih mengenali keperibadian individu yang layak di mukim mereka sendiri,” katanya. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

BERITA BERKAITAN