PETALING JAYA: Bakal menggegarkan pentas Zepp KL, 30 November depan, Bagindas menjanjikan persembahan berbeza dan membawa kelainan menerusi kolaborasi bersama bersama DJ Rycko Ria.
Bertepatan dengan cita rasa pendengar yang gemar dengan lagu berkonsep ‘jedag jedug’, vokalisnya, Andra berkata, Bagindas sentiasa melakukan inovasi dan garapan muzik yang segar seiring peredaran zaman.
“Malaysia sentiasa menjadi pentas yang dinanti-nantikan untuk untuk konsert. Selama ini kami sentiasa menunggu peluang mengadakan konsert sulung di Malaysia.
“Malah kami sentiasa menerima permintaan daripada peminat yang mahu kami datang ke Malaysia menjayakan konsert.
“Ibarat bulan jatuh ke riba, kami menganggap tahun in adalah waktu dan rezeki yang tepat untuk bertemu dengan peminat Bagindas,” ujarnya.
Bakal menyanyikan 16 buah lagu termasuk Suka Sama Kamu, C.I.N.T.A dan banyak lagi, konsert berdurasi dua jam itu akan dibahagi kepada tiga segmen.
“Menjelang konsert kelak, dapat dilihat bagaimana ramuan muzik Bagindas terus berkembang dan mengikuti aliran zaman.
“Kami bisa bertahan kerana rasa penasaran (ingin tahu) terhadap trend muzik sekarang yang tidak bisa diramal, kami suka bereksperimentasi. Itu kelainan yang bakal kami bawakan,” katanya.
Dalam pada itu,penganjur, Purosangue Entertainment, pihaknya yakin konsert itu bakal menggegar berikutan rantaian lagu Bagindas boleh dikatakan sudah sebati dalam jiwa pencinta muzik tanah air.
“Mereka bukanlah kumpulan yang asing dalam kalangan pencinta muzik tanah air. Kebanyakan lagu-lagu mereka cukup melekat dan menjadi pujaan peminat di kedua-dua negara baik Malaysia mahupun Indonesia.
“Jadi, melihatkan sambutan dan sokongan padu yang diberikan kepada Bagindas membuatkan kami cukup yakin untuk menganjurkan konsert ini. Kami yakin mereka akan memukau seluruh penonton yang hadir pada malam itu nanti.
“Berbekalkan kredibiliti yang dimiliki Bagindas, mereka lebih daripada mampu untuk membawa peminat larut dalam kemerduan dan keasyikan lagu yang bakal didendangkan,” ujarnya.










