BUKAN sesuatu yang asing untuk wanita memanjakan kulit dengan melakukan aneka rawatan wajah dan tubuh di spa atau pusat kecantikan.
Namun, apabila lelaki berkunjung ke pusat rawatan melakukan rawatan kecantikan, ada pula yang yang sinis mengenainya?.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Cell Tissue Technology Sdn. Bhd., Dr. Khairul Idzwan Baharin berkata, hari ini bukanlah sesuatu yang pelik apabila lelaki mendapatkan rawatan di spa dan pusat kecantikan kerana golongan lelaki kian sedar mengenai mustahaknya aspek kebersihan, kecantikan dan penjagaan diri.
Malah, apabila mengunjungi spa, katanya, mereka bebas mendapatkan nasihat atau konsultansi profesional daripada pakar kecantikan serta melakukan analisis kulit wajah atau rambut secara terperinci menggunakan teknologi terkini yang canggih.
“Prosedur rawatan kulit wajah atau rambut di spa juga lebih intensif, holistik serta efektif yang tidak dapat dibuat di rumah.
“Pelanggan juga akan kurang rasa stres apabila berada dalam persekitaran eksklusif dan mewah serta penggunaan teknologi tinggi dalam setiap prosedur kecantikan yang membantu menambah baik masalah kulit wajah atau rambut dengan lebih cepat, berkesan dan selamat,” katanya.
Bekas doktor perubatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) itu mengulas isu golongan lelaki mengunjungi spa bagi menjalani prosedur kecantikan sehingga menimbulkan stigma dalam segelintir masyarakat.
Dalam pada itu, kongsinya, antara alasan popular yang sering diberikan oleh golongan lelaki bagi menjalani prosedur di spa adalah menjaga penampilan, memanjakan diri, membuatkan diri berasa lebih segar sekali gus meningkatkan keyakinan diri.
Bagaimanapun, jelasnya, tiada perbezaan yang ketara semasa prosedur rawatan kulit wajah dan rambut antara pelanggan lelaki dan wanita.
“Di Celllora MediSpa, pakar kecantikan kami akan menganalisis atau mengenal pasti masalah pelanggan dan mencadangkan treatment plan bagi setiap individu tanpa mengira jantina. Penelitian itu akan memastikan pelanggan mendapat hasil yang diinginkan.
“Hanya prosedur kesihatan dalaman lelaki dan wanita yang terdapat perbezaan. Namun begitu, pendekatan yang kami gunakan tidak berbahaya atau menyakitkan sama sekali.
“Pakar selalunya akan berbincang secara terperinci dengan pelanggan bagi memastikan mereka sentiasa selesa sepanjang prosedur dijalankan,” jelasnya.

Dr. Khairul Idzwan yang turut memiliki klinik penjagaan kulit dan estetik, Celllora MediSpa, berkata, antara rawatan menerima sambutan menggalakkan dalam kalangan lelaki adalah prosedur mengenai kulit wajah, masalah rambut serta kesihatan dalaman.
“Masalah keguguran rambut adalah sinonim dalam kalangan lelaki atas pelbagai faktor seperti umur dan ketidakseimbangan hormon.
“Di Celllora MediSpa, kita menggunakan teknologi canggih TMA (Thermo-Mechanical Action) yang memanfaatkan suhu tinggi bersama daya mekanikal yang kuat.
“Ini sekali gus membantu pertumbuhan folikel rambut dengan rancak, selain meningkatkan penghasilan kolagen untuk kulit kepala yang sihat.
“Dalam masa sama, teknologi ini membuka micro-channel pada permukaan kulit kepala yang membolehkan kita menggandakan lagi keberkesanan prosedur dengan penggunaan solusi berasaskan sel stem manusia.
“Prosedur ini tidak menyakitkan dan pertumbuhan rambut boleh dilihat seawal tujuh hari. Namun, ia bergantung kepada setiap individu,” jelasnya.
PERSEPSI LAPUK
Menyentuh persepsi segelintir masyarakat terhadap lelaki yang menjadikan rutin ke spa sebagai sesuatu yang tidak ‘macho’, Dr. Khairul Idzwan berkata, ia timbul disebabkan stigma mengaitkan prosedur itu hanya untuk perempuan sahaja.

Namun, katanya, persepsi itu semakin berubah seiring peningkatan kesedaran mengenai kesihatan dan kecantikan dalam kalangan lelaki.
“Semakin ramai lelaki menghargai manfaat spa untuk kesihatan, penjagaan dan penampilan diri tanpa mengira pandangan konvensional yang sudah ketinggalan zaman mempertikaikan ‘kelelakian’ seseorang.
“Tidak ada apa-apa yang tidak ‘macho’ tentang merawat diri dan menjaga kesihatan serta penampilan diri. Bahkan, semakin banyak spa yang menawarkan prosedur khas untuk lelaki. Paling penting adalah membuat pilihan bersesuaian dengan keperluan dan keinginan peribadi,” katanya.
Celllora MediSpa ditubuhkan pada 2018 yang bertujuan memberikan rawatan kepada lelaki dan wanita seperti masalah kulit wajah melibatkan jerawat, parut jerawat, penuaaan, kulit kusam dan kering.
Prosedur yang diinovasikan di Celllora MediSpa memanfaatkan teknologi kejuruteraan tisu dan bioregeneratif, CIGF (Collagen Inducing Growth Factors) dan TMA yang melibatkan kajian lebih sedekad lalu.
Teknologi ini dipanggil Tixelllora dan digunakan dalam prosedur kulit wajah mahupun rambut. Prosedur Tixelllora ini mengfokuskan restoration and reparation pada peringkat sel dan tisu, unit asas kehidupan manusia secara semula jadi dengan kadar keberkesanan tinggi.
DILABEL KULIT MUKA MACAM DURIAN

Dr. Khairul Idzwan yang juga bekas vokalis utama kumpulan nasyid Saujana turut berkongsi pengalaman pedihnya bila dilabel dengan pelbagai gelaran hanya disebabkan jelapang wajahnya ditumbuhi jerawat sewaktu usianya belasan tahun lagi.
“Sejak zaman sekolah, orang sekeliling pernah label saya muka macam kulit durian sebab jerawat banyak timbul. Saya pernah dihina, digelak dan dibanding-bandingkan raut wajah tidak selari seperti dalam gambar.
“Masa itu pula saya aktif dengan Saujana. Dengan raut wajah seperti itu, membuatkan saya hilang keyakinan diri.
“Jadi, saya ‘balas dendam’ dengan menyambung pengajian dalam bidang perubatan sebab hendak rawat muka sendiri,” katanya yang menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS) di International Medical University (IMU), Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Tegasnya, jika individu berdepan masalah kecantikan sehingga menyebabkan mereka berasa rendah diri, sewajarnya mereka mendapatkan rawatan.
“Pencegahan awal adalah lebih baik daripada merawat kulit muka yang sudah rosak.
“Kita juga dibebani kesalahan sekiranya membiarkan seseorang lelaki hilang keyakinan diri disebabkan kulit wajah yang kusam, muka berjerawat dan tidak bermaya.
“Jadi, mereka perlu mencari solusi dan tidak salah mengunjungi mana-mana spa untuk meremajakan kulit serta rawatan lain,” katanya.










