KOTA BHARU: Ahli Parlimen Bachok, Mohd. Syahir Sulaiman mengesahkan tidak bertanding jawatan di peringkat Dewan Pemuda Pas pada Muktamar Pas ke-69 di Shah Alam, Selangor hujung minggu ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mohd. Syahir berkata, penolakan itu dilakukan sejak 2018 dan tahun ini beliau sekali lagi memutuskan tidak bertanding jawatan termasuk di peringkat Ahli Jawatankuasa Pas Pusat meskipun sudah mendapat pencalonan yang cukup untuk berbuat demikian.
“Nama saya dikaitkan untuk jawatan Ketua Pemuda Pas hanyalah spekulasi. Untuk makluman, saya dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Presiden Pas sejak 2018.
Pada sama sama, saya melepaskan jawatan sebagai Pengarah Strategi Pemuda dan kini dilantik sebagai Penolong Setiausaha Agung Pas Pusat.
“Bukan itu sahaja, saya masih meneruskan tugas sebagai Setiausaha Politik kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang. Sebagai Setiausaha Politik, saya lebih selesa memilih pendekatan untuk tidak bertanding buat masa ini,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas laporan Utusan Malaysia yang memetik namanya sebagai antara calon dilihat layak menggalas tugas sebagai Ketua Pemuda Pas selepas Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari membuat keputusan untuk tidak mempertahan jawatan tersebut.
Beliau antara tiga nama disebut bakal Ketua Pemuda Pas selain Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden dan Pengarah Pilihan Raya Pemuda Pas, Mohd. Hafez Sabri.
Ujarnya, beliau menyerahkan kepada pucuk pimpinan tertinggi parti itu untuk memberikan sebarang tugasan ‘lantikan’ selepas muktamar berkenaan.
Mohd. Syahir berkata, dalam Pemuda Pas, proses transisi kepemimpinan dilihat sangat tenang dan pertandingan secara ‘adik beradik’.
“Semuanya layak. Namun saya memilih untuk memberikan laluan kepada sahabat-sahabat lain untuk bertanding, di peringkat Pemuda mahupun Ahli Jawatankuasa Pas Pusat.
“Insya-Allah ketua pemuda Pas baharu adalah sangat berkelayakan dan berwibawa untuk memimpin anak-anak muda dalam parti serta seluruh negara,” katanya. – UTUSAN










