PETALING JAYA: Subsidi bersasar perlu hadir bersama skim perlindungan sosial menyeluruh bagi semua golongan dan kelas pendapatan sebagai langkah mempersiap rakyat berdepan pengurangan subsidi.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pusat Pembangunan Dasar dan Hal Ehwal Ekonomi Malaysia (PEACE), Dr. Zokhri Idris berkata, skim perlindungan sosial hanya tertumpu pada golongan berpendapatan rendah (B40) ketika ini.
Katanya, dalam pembentangan Belanjawan 2024 pula golongan berpendapatan sederhana (M40) kurang diberi perhatian sedangkan mereka juga terkesan.
“Saya setuju yang perlindungan sosial harus bersekali dengan pemberian subsidi bersasar, cuma, kalau perlindungan sosial hanya tertumpu pada golongan B40, maka, golongan M40 akan ‘cedera’.
“Dalam belanjawan pun mereka kurang diberi perhatian sedangkan mereka juga terkesan dengan kenaikan harga barangan. Bagi subsidi bersasar, ya, kerajaan akan memperkenal subsidi bersasar diesel untuk melihat dahulu pelaksanaannya.
“Di sebalik subsidi bersasar ini, orang ramai mahu lihat kaedah pelaksanaan yang efisien dan telus kerana idak mahu nanti ada yang mempertikaikannya. Apa pun, kita masih jauh lagi melihat pengurangan subsidi ini berdasarkan apa yang telah diumumkan,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, peruntukan RM58.1 bilion disediakan kerajaan bagi membiayai pelbagai bentuk bantuan kepada rakyat merangkumi subsidi dan insentif dalam belanjawan adalah wajar kerana kerajaan tiada tabungan kukuh.
Katanya, keadaan yang menjadikan jumlah itu tidak mencukupi jika kurang pelaksanaan atau tiada pelaksanaan berkesan dan akhirnya membeban rakyat.
“Contonya isu beras, bukanlah sebab kita tiada atau tidak cukup beras tetapi permainan harga oleh pemborong dan pembekal dan tindakan menyorok bekalan beras dan ia memerlukan tindakan pantas pihak berkuasa menanganinya.
“Selain itu, perlu seimbangkan antara tabungan kerajaan dan tabungan rakyat. Rakyat juga akan senang jika perkhidmatan optimum diberi kerajaan. Apabila operasi kerajaan memudah cara kehidupan rakyat, saya percaya separuh beban rakyat akan berkurang,” katanya.
Dalam pembentangan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat 13 Oktober lalu, kerajaan akan memulakan usaha mengurangkan subsidi tahun depan, kali pertama dalam berdekad kerajaan menangani perbelanjaan yang menjadi punca kepada ketempangan kewangan negara selain ketirisan berbilion ringgit.
Bagi mengurangkan subsidi, Putrajaya akan melaksanakan subsidi bersasar dengan menaikkan tarif elektrik kepada golongan mampu dan rasionalisasi subsidi diesel.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mengumumkan penyediaan RM58.1 bilion untuk membiayai pelbagai bentuk pemberian kerajaan kepada rakyat merangkumi subsidi, insentif dan bantuan pada tahun depan.
Pada 15 Mei lalu, Anwar menubuhkan Sistem Pangkalan Data (PADU) untuk menggabungkan maklumat sosioekonomi setiap isi rumah bagi memperkemas pelaksanaan subsidi bersasar.
Dalam pada itu Zokhri berkata, sekiranya sistem itu masih berdasarkan pendapatan individu dan bukan pendapatan isi rumah, maka kerajaan akan mengenal pasti golongan yang salah untuk menerima subsidi.
“Bagaimanapun PADU ini memang bagus kalau kita mahu buat subsidi bersasar. Ia perlu bersepadu dengan nombor kad pengenalan.
“Kalau kita masukkan nombor kad pengenalan, kita boleh tahu pendapatan kita, pendapatan isi rumah dan pola perbelanjaan,” katanya. – UTUSAN










