PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh menggunakan peluang lawatan kerjanya ke Arab Saudi esok untuk menyuarakan pendirian Malaysia dalam isu konflik di Semenanjung Gaza dengan menjadikan serangan rejim zionis terhadap Hospital Gaza City sebagai asas menggesa gencatan senjata.
Walaupun pada hakikatnya hanya Amerika Syarikat (AS) sahaja yang mempunyai ‘kunci’ untuk menekan Israel untuk menghentikan serangan terhadap rakyat Palestin di Gaza, negara-negara Islam boleh memberi tekanan menggunakan kuasa politik masing-masing.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Geostrategi Prof. Dr. Azmi Hassan berkata, walaupun AS mempunyai ‘kunci’ untuk menekan Israel supaya bersetuju melakukan gencatan senjata, negara tersebut tidak boleh diharapkan dalam hal ini.
Sebaliknya, beliau berkata, tekanan perlu diberikan kepada AS dari negara-negara Islam termasuk Malaysia sendiri.
“Saya melihat lawatan Perdana Menteri ke Riyadh esok (hari ini) adalah masa terbaik untuk kita memberi tekanan dengan menjadikan pembersihan etnik yang dilakukan oleh Israel dan serangan terhadap hospital sehingga mengakibatkan 500 rakyat Palestin terkorban, sebagai asas.
“Malaysia mempunyai suara dalam isu ini kerana saya berpandangan kita berada pada kedudukan yang tinggi apabila Perdana Menteri bercakap sendiri dengan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh walaupun Hamas dianggap sebagai pengganas,” katanya.
Bagaimanapun, Azmi berkata, dalam isu gesaan gencatan senjata untuk membolehkan bantuan kemanusiaan segera dihantar ke Gaza, kuasa besar perlu memainkan peranan masing-masing.
“Sudah tiba masanya, ditunjukkan bagaimana seluruh negara Islam sekarang bukan hanya kerana perang Ukraine, beralih kepada Rusia dan China tapi disebabkan isu Palestin ini.
“Negara Islam perlu menunjukkan disebabkan isu Palestin ini mereka mula beralih kepada ikon kuasa besar lain supaya dapat memberi tekanan kepada AS dan Kesatuan Eropah (EU) bahawa jika mereka tidak melakukan sesuatu yang sepatutnya dalam isu Palestin, maka geopolitik global akan berubah,” katanya.
Pada masa sama, Azmi berkata, Riyadh yang kini dipimpin oleh Putera Mohammed Bin Salman atau MBS dilihat tidak menjadi masalah untuk memberi tekanan terhadap AS memandangkan beliau pernah menongkah arus terhadap beberapa permintaan Washington sebelum ini.
“Jika dilihat sejak kebelakangan ini, Riyadh mula berbaik-baik dengan Iran walaupun mempunyai hubungan rapat dengan AS.
“Jadi saya tidak melihat ia menjadi suatu masalah besar dan Riyadh juga telah mempamerkan lebih rapat dengan China berbanding sekutunya, AS. Perdana Menteri (Anwar) seharusnya menggunakan peluang ini untuk mempengaruhi Riyadh dalam isu Palestin ini,” katanya.
Dalam konflik di Semenanjung Gaza yang masuk hari ke-10, seramai lebih 3,000 orang terkorban manakala lebih 10,000 cedera.
Dalam serangan terbaharu, sebuah Hospital di Gaza City dibom oleh rejim zionis yang mengorbankan lebih 800 doktor, jururawat, pesakit dan orang awam namun Israel menafikan bertanggungjawab terhadap serangan tersebut.-UTUSAN