Stor jadi lokasi kenderaan Thailand seludup diesel diserbu

Stor jadi lokasi kenderaan Thailand seludup diesel diserbu

SEBUAH lori 10 tan disita KPDN yang menyerbu stor haram menempatkan minyak diesel bersubsidi di Kawasan Perindustrian Bukit kayu Hitam, Kubang Pasu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Sebuah stor yang menempatkan ribuan liter minyak diesel bersubsidi diserbu penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di Kawasan Perindustrian Bukit kayu Hitam, Kubang Pasu kira-kira pukul 4.30 petang, semalam. 

Pengarah KPDN Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata, minyak diesel yang dianggarkan berjumlah 10,000 liter yang bernilai RM21,500 turut dirampas bersama-sama dua unit tangki intermediate bulk container (IBC).

“Hasil serbuan telah menemukan sebuah lori 10 tan yang dilengkapi tangki tambahan berisi cecair disyaki minyak diesel. Kita turut menyita kenderaan itu yang menjadikan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM64,900.

“Risikan yang dijalankan hampir seminggu turut mendapati stor tersebut dijadikan lokasi bagi kenderaan bernombor pendaftaran Thailand datang mengisi diesel untuk diseludup ke negara asal mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, pekerja dan pemandu lori terbabit berjaya meloloskan diri ke kawasan hutan berhampiran ketika serbuan dijalankan. 

Beliau berkata, siasatan dijalankan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi mana-mana orang perseorangan serta denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan kedua. 

“Bagi pertubuhan perbadanan, boleh didenda tidak melebihi RM2 juta dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan kedua. KPDN tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sindiket dan aktiviti penyelewengan barang kawalan ini. 

“Tindakan turut boleh diambil di bawah Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) (Akta 613).

Sementara itu, Affendi berkata, KPDN Kedah turut mengambil tindakan terhadap sebuah kilang beras kerana tidak mempunyai permit untuk menyimpan minyak diesel di Simpang Empat, di sini semalam.

“Semasa pemeriksaan dijalankan anggota KPDN menemukan sebuah Skid Tank yang mengandungi kira-kira 6,000 liter dan 3,000 liter minyak diesel dalam tiga unit tangki IBC bernilai RM28,800,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN