KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mendapatkan beberapa dokumen daripada pihak Aman Palestin Bhd. berhubung siasatan pengumpulan derma oleh badan bukan kerajaan tersebut (NGO) untuk rakyat Palestin.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan pihaknya setakat ini menumpukan kepada dokumen-dokumen yang boleh membantu siasatan terhadap dakwaan salah guna kuasa membabitkan pengumpulan derma itu.
Beliau berkata, pihaknya sedang mendapatkan dokumen-dokumen daripada NGO terbabit serta pihak bank.
“Siasatan setakat ini menumpukan kepada dokumen-dokumen yang banyak perlu dikaji melalui forensik, bagaimana wang itu dibelanjakan.
“Daripada siasatan kita perlu melihat daripada mula pungutan wang dana dibuat, bagaimana dibelanjakan,” katanya selepas merasmikan International Anti-Bribery Anti-Corruption Summit 2023 (ABAC) di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Azam berkata, setakat ini, pihaknya belum merakam percakapan mana-mana individu berkaitan siasatan tersebut.
Bagaimanapun, pihaknya memperoleh kerjasama daripada pihak Aman Palestin serta pengarahnya.
“Saya boleh katakan kita membuat forensik, akan menemu duga dan mendapatkan penjelasan daripada pihak-pihak terlibat dalam perbelanjaan dan proses audit.
“Kes ini masih terlalu awal, siasatan berdasarkan tohmahan dan pertikaian sama ada wang perbelanjaan NGO itu untuk mereka yang menjadi mangsa di Palestin dan adakah mereka mengikut peraturan negara ini.
“Siasatan bermula minggu lalu, walaupun tiada laporan, namun, kes ini kepentingan awam kerana ini wang dana kita semua,” katanya.
20 Oktober lalu, media melaporkan SPRM memulakan siasatan ke atas Aman Palestin Bhd. berhubung dengan aktiviti pengumpulan derma oleh badan bukan kerajaan tersebut untuk rakyat Palestin.
Azam dilaporkan berkata, pihaknya memulakan siasatan berdasarkan maklumat yang dilaporkan dalam media meskipun tiada aduan formal dibuat.
“SPRM mempunyai bidang kuasa untuk memulakan siasatan berdasarkan maklumat yang diterbitkan oleh media. Dalam kes Aman Palestin, kita telah pun buka kertas siasatan.
“Apabila terdapat perkara berkepentingan awam dan didokong oleh maklumat yang boleh dipercayai, kita akan siasat tidak kira ada aduan atau tidak,” ujarnya.
12 Oktober lalu, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) mengesahkan menarik balik kebenaran kutipan Tabung Aman Palestin di Perlis susulan terdapat aduan diterima daripada beberapa pihak meminta agar pertubuhan itu disiasat berkaitan wang kutipan dipungut dan dikumpulkan selama ini.-UTUSAN










