PETALING JAYA: Firma guaman mewakili pemimpin kanan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Rosli Dahlan Saravana (RDS) mengesahkan, tiada sebarang dokumen milik anak guam dirampas menerusi serbuan dan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.
Rakan-rakan kongsi firma guaman itu dalam kenyataan menegaskan, pejabat firma guaman tidak boleh dicabuli termasuk kerahsiaan dokumen anak guam yang terlindung di sisi undang-undang.
Katanya, dokumen tersebut tidak boleh dirampas oleh pihak SPRM berpandukan Seksyen 46 Akta SPRM 2009 yang mengiktiraf ketidakbolehcabulan hukum kerahsiaan maklumat dan komunikasi terlindung anakguaman.
“Oleh itu, pegawai SPRM tidak dapat mengakses sebarang dokumen anak guam kami. Sebagai firma guaman, kami tegas dalam mencegah sebarang penyalahgunaan, eksploitasi atau paksaan oleh agensi penguat kuasa semasa kami mewakili semua anak guam kami.
“Rakyat berhak mendapatkan perwakilan undang-undang dan prinsip universal ini tidak boleh dilanggar. Peguam adalah komponen penting dalam sistem pentadbiran keadilan negara bagi masyarakat yang beraspirasi untuk menjadi demokrasi yang berfungsi dan progresif.
“Peguam dan agensi penguat kuasa mempunyai tanggungjawab untuk menghormati dan menegakkan kedaulatan undang-undang. Kami berpegang teguh kepada prinsip ini dan akan sentiasa memperjuang hak semua anak guam kami tanpa gentar atau ragu,” kata kenyataan itu hari ini.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, SPRM telah menyerbu RDS pukul 10.30 pagi yang menuntut kuasa penyiasatan untuk mengakses seluruh pejabatnya.
Kata firma itu, seramai 12 pegawai SPRM menyerbu firma guaman RDS dengan pegawai SPRM diketuai individu bernama Mohd. Farid Ismail, Mohamad Safwan Arbangi dan Siti Aida Khairudin menuntut hak menggeledah dan merampas dokumen-dokumen di firma tersebut.
Semalam, SPRM telah mengesahkan siasatan berterusan terhadap seorang peguam yang terlibat dalam usaha kerajaan mendapatkan semula aset 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Haram 2001.
SPRM bagaimanapun menafikan kehadiran pegawainya ke premis peguam tersebut menyalahi mana-mana akta yang berkuatkuasa.
Rosli Dahlan merupakan rakan kongsi firma guaman RDS, juga peguam utama Bersatu dan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
RDS turut bertindak sebagai peguam cara untuk bekas Perdana Menteri itu dan memulakan saman fitnah terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas hal-hal berkaitan Felda.
Pada 2021, Rosli telah menafikan dakwaan menerima sogokan kerana membantu kerajaan Persekutuan mencapai penyelesaian antara Goldman Sachs dengan 1MDB. – UTUSAN










