PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) Terengganu menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat salah laku rasuah susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang membatalkan kemenangan Pas di Parlimen Kuala Terengganu dan Kemaman.
Pada masa sama, BN Terengganu juga menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengeluarkan notis melarang untuk calon yang dibatalkan kemenangannya daripada bertanding semula pada Pilihan Raya Kecil (PRK) akan datang susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya, baru-baru ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Badan Perhubungan BN Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, SPRM sepatutnya sudah pun menyiasat dakwaan rasuah yang berlaku ketika pilihan raya susulan keputusan mahkamah tersebut.
Katanya, walaupun mahkamah tidak menamakan mana-mana pihak dalam keputusannya, kemenangan yang diperoleh Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid sudah pun dibatalkan.
“Sama juga dengan SPR, mereka sepatutnya mengeluarkan notis melarang calon yang dibatalkan kemenangannya untuk bertanding semula, tetapi ia tidak berlaku. Apa mesej yang mahu disampaikan jika tiada tindakan diambil,” katanya.
Minggu lalu, Mahkamah Pilihan Raya Kuala Terengganu membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid yang mewakili Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.
Hakim Mahkamah Pilihan Raya, Datuk Anselm Charles Fernandis membenarkan petisyen pilihan raya yang difailkan oleh pempestiyen, Wan Mohamad Hisham Wan Abdul.
Keputusan dibuat Charles Fernandis yang juga merupakan Hakim Mahkamah Tinggi Melaka selepas pihak pempestiyen berjaya membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika kempen PRU15.
Pada PRU15 lalu, Che Alias memenangi kerusi Parlimen Kemaman dengan majoriti 27,179 undi selepas memperoleh 65,714 undi, menewaskan Ahmad Said yang mendapat 38,535 undi.
Dua lagi calon yang bertanding di Parlimen itu, Rosli Ab. Ghani (Pejuang) dan Hasuni Sudin (Pakatan Harapan), masing-masing mendapat undi sebanyak 506 dan 8,340 undi.
Sementara itu, Ahmad yang juga bekas Menteri Besar Terengganu berkata, BN Terengganu menyerahkan keputusan sama ada mahu bertanding atau tidak jika PRK diadakan di Parlimen Kemaman selepas Pas tidak mahu mengemukakan rayuan.
Beliau berkata, keputusan untuk meletakkan siapa calon bagi mewakili BN juga diserahkan kepada UMNO pusat namun pihaknya akan mengusulkan nama calon tersebut.
“Terserah kepada pusat pilih calon, kalau boleh biarlah orang muda yang mempunyai pengaruh bertanding. Jika mahu menang, BN perlu meletakkan calon yang berpengaruh supaya dapat tarik lebih banyak sokongan.
“Mungkin minggu depan BN Terengganu akan mengadakan mesyuarat berhubung kemungkinan PRK Kemaman namun semuanya terpulang kepada pusat untuk tentukan sama ada mahu bertanding atau tidak terlebih dahulu,” katanya. – UTUSAN










