BENTONG: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum menerima aduan rasmi berhubung dakwaan penyalahgunaan jentera dan aset kerajaan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, setakat ini perjalanan kempen pilihan raya berjalan lancar tanpa sebarang kesalahan dan insiden yang diingini berlaku.
Katanya, mana-mana pihak yang mendakwa wujud salah guna aset kerajaan perlu membuat aduan rasmi kepada SPR dengan segera.
“Setakat ini diperingkat kita alhamdulillah tiada aduan tidak sepatutnya berlaku berhubung kempen. Kita pun tidak terima laporan berhubung salah guna aset kerajaan.
“Selagi tiada aduan, kita dapati kempen berjalan lancar. Maknanya kempen dua minggu PRK Pelangai adalah berjalan lancar,” katanya ketika ditemui selepas meninjau persiapan PRK DUN Pelangai di Pusat Penjumlahan Undi Dewan Orang Ramai Felda Kemasul di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas gesaan Perikatan Nasional (PN) agar SPR memantau parti politik yang menyalahgunakan jentera dan aset kerajaan pada PRK DUN Pelangai.
Semalam, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, SPR juga perlu memantau pengumuman dan pemberian insentif kepada kerajaan sama ada oleh kerajaan negeri mahupun Kerajaan Persekutuan kepada rakyat sepanjang kempen berlangsung.
Dalam pada itu, Abdul Ghani menyasarkan peratusan keluar mengundi dalan PRK Pelangai adalah sehingga 75 peratus ke atas berbanding 78 peratus sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Katanya, keputusan rasmi PRK Pelangai dijangka diumumkan seawal pukul 9 malam setelah pengiraan dibuat membabitkan sembilan pusat pengundi dan 30 saluran.
“Kita menyeru semua pengundi dapat keluar mengundi supaya dapat semarak semangat demokrasi,” katanya.
Beliau juga berharap pengundi keluar mengundi ikut masa ditetapkan dan mereka diingatkan untuk membawa kad pengenalan sebelum ke tempat mengundi.
Dijangka 16,456 pengundi akan menjalankan tanggungjawab dalam PRK DUN Pelangai pada esok bagi memilih seorang wakil rakyat yang baharu.
PRK DUN Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun dalam nahas pesawat di Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos lalu.
Pilihan raya kali ini menyaksikan pertembungan tiga penjuru iaitu Datuk Amizar Abu Adam yang dicabar calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat dan calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli. – UTUSAN










