PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Malaysia ICT Volunteer (MIV) bekerjasama menganjurkan bengkel bagi meningkatkan literasi digital serta pengetahuan guru serta pelajar berkaitan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) secara berhemah.
Menurut Komunikasi Korporat SKMM, lima sesi bengkel dianjurkan di Kedah, Putrajaya, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Terengganu yang disertai sebanyak 218 orang wakil yang terdiri daripada guru penyelaras ICT, guru pendidikan khas serta para pegawai daripada Jabatan Pendidikan Negeri.
Jelas kenyataan itu, selain menggalakkan penggunaan ICT secara bertanggungjawab, bengkel-bengkel yang dianjurkan baru-baru ini mendedahkan para peserta tentang penggunaan ICT secara optimum.
“Sesi perkongsian turut menyentuh tentang kaedah melindungi diri daripada menjadi mangsa ancaman dalam talian.
“Selain daripada sesi perkongsian inisiatif SKMM iaitu Klik Dengan Bijak (KDB), Kementerian Kesihatan Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga turut terlibat sebagai rakan strategik.
“Ringkasan modul yang dikongsikan termasuk ‘Impak Penggunaan ICT Terhadap Kesihatan’ serta ‘Penguatkuasaan Jenayah Siber di Malaysia’ yang dilihat dapat memberi pendedahan kepada para guru yang terlibat dalam usaha mendepani penyalahgunaan ICT yang semakin mencabar pada masa kini,” kata kenyataan itu. -UTUSAN