KUALA LUMPUR : Selebriti media sosial dan usahawan, Siti Jamumall, 24, tidak menganggap abangnya yang berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) sebagai satu beban dalam hidupnya.
Menurut Siti, sejak kecil, dia sudah terbiasa menjaga keperluan abangnya, Mohd Khairul Nizam Wahiddin,memandangkan lelaki berusia 34 tahun itu tidak boleh berjalan sejak berusia 15 tahun.
“Di sebalik kehidupan dan keceriaan yang orang lihat pada saya selama ini, ramai tidak tahu saya mempunyai abang OKU. Dia adalah kekuatan saya. Kalau anda tanya kenapa saya boleh kuat berdepan macam-macam dugaan, semuanya kerana dia.
“Sejak tidak boleh berjalan, abang memang perlu diuruskan sepenuhnya. Pendek kata, kena ada yang bantu. Kalau nak tahu, dulu abang menjaga kami adik beradik ketika masih kecil, termasuklah saya.
“Jadi, apabila dah besar saya berjanji pada diri, selama saya masih hidup saya akan menguruskannya sampai bila-bila. Saya tak akan tinggalkan dia. Saya akan menjaganya sampai hujung nyawa sebab dia dah banyak tolong dan berikan semangat pada saya,” katanya.
Kongsi Siti lagi, abangnya juga adalah individu yang banyak memberikan contoh untuk menjadi insan yang terbaik.
“Abang selalu cakap pada saya, selagi kita bernyawa apa pun yang berlaku kena teruskan kehidupan. Kita kena kuat menghadapi setiap apa yang Allah uji. Percayalah, lagi besar dugaan Allah bagi, lagi tinggi darjat Allah nak bagi pada kita.
“Sabar atau tidak saja. Kalau kita sabar, insya-Allah, kita akan dapat sesuatu dan nikmat yang tidak disangka-sangka pada masa hadapan. Sekarang ini, apa yang kita boleh buat adalah tawakal, reda dan teruskan usaha.
“Jangan pernah berhenti. Sebab, tidak ada orang lain yang boleh tolong kita melainkan diri sendiri,” katanya.
Terdahulu, Siti sekali lagi mencuri perhatian apabila mendedahkan pernah mendapat RM50 nafkah setahun ketika berkahwin dengan bekas suami.
Siti berkata, sikap tidak bertanggungjawab itu menjadi punca dia nekad untuk bercerai tahun lalu.