Sindiket seleweng diesel kini sasar stesen minyak di Lembah Klang

Sindiket seleweng diesel kini sasar stesen minyak di Lembah Klang

ARIFFIN Samsuddin (kanan) menunjukkan lori yang disita pihaknya dipercayai menyeleweng diesel bersubsidi dalam serbuan di stor haram di Pantai Dalam, Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sindiket penyelewengan diesel bersubsidi kini beralih kepada stesen minyak di Lembah Klang bagi mengelak dikesan pihak berkuasa. 

Sebelum ini, difahamkan sindiket tersebut menyasarkan stesen minyak di berhampiran negeri di sempadan  negara.

Terbaru, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Kuala Lumpur berjaya menahan empat warga tempatan dalam serbuan Op Tiris di stor haram di Jalan Pasir Baru di ibu negara pada 4 Oktober lalu.

Pengarahnya, Ariffin Samsudin berkata, serbuan itu hasil risikan dijalankan selama tiga minggu dengan mendapati beberapa buah lori bonded dan kanvas satu, tiga dan lima tan berulang kali membeli diesel di stesen minyak di sekitar Jalan Klang Lama di sini. 

Katanya, berdasarkan pemerhatian, diesel yang dibeli akan dikumpulkan di stor haram itu sebelum dipindahkan ke sebuah lori kontena 20 tan.

“Kemudian sindiket akan menghantar ke luar kawasan dari Kuala Lumpur.

“Dalam serbuan itu, empat ditahan terdiri daripada dua pekerja stor, seorang pemandu lori dan seorang lagi dipercayai pemilik stor haram terbabit,” katanya dalam sidang akhbar di STOR KPDN di Segambut hari ini. 

Menurut Ariffin, pihaknya turut menyita sebuah lori kontena 20 kaki dengan muatan cecair disyaki diesel dalam ‘flexi bag’ berjumlah 24,000 liter dianggarkan bernilai RM56,400.00. 

Jelasnya, pemeriksaan lanjut turut menemukan tiga tangki skid yang dipercayai digunakan untuk menyimpan diesel.

“Bagaimanapun, hanya sebuah tangki skid mengandungi cecair disyaki diesel berjumlah 4,073 liter bernilai sebanyak RM9,571.55 ditemukan. 

Nilai keseluruhan barang rampasan dianggarkan berjumlah RM120,966.95.

“Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana disyaki menjalankan urusniaga barang kawalan iaitu diesel tanpa memiliki lesen yang sah dan juga disyaki menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak dilesenkan,” katanya. 

Dalam pada itu, Ariffin berkata, setakat ini, KPDN Kuala Lumpur membuka sebanyak tujuh kertas siasatan melibatkan 11 tangkapan warga tempatan di bawah Ops Tiris.

“Nilai sitaan barang kawalan RM 215,706.66 bagi 103,328.68 liter diesel. Anggaran keseluruhan barang rampasan sebanyak RM296,632.70 merangkumi kenderaan dan barang kawalan.

“Justeru, kita memberi amaran keras kepada mana-mana pihak supaya tidak melanggar undang-undang sedia ada dan pihak kami tidak akan berkompromi dengan mereka yang terlibat dengan aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi diesel yang merupakan antara salah satu pemberian subsidi oleh pihak kerajaan yang perlu dipelihara untuk dinikmati rakyat negara ini,” katanya. 

Tegasnya, mana-mana pihak yang ingkar dan melanggar undang-undang yang dikuatkuasakan bakal menerima hukuman yang berat ditetapkan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN