Serangan Gaza buka mata dunia kekejaman Israel

Serangan Gaza buka mata dunia kekejaman Israel

SHAMSUL ISKANDAR MOHD. AKIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Serangan Israel terhadap Gaza yang disokong Amerika Syarikat dan sekutu termasuk Kesatuan Eropah telah membuka mata banyak negara dan jutaan masyarakat dunia setelah menyaksikan sendiri kekejaman terhadap penduduk Palestin.

Pengerusi Biro Antarabangsa PKR, Datuk Shamsul Iskandar Mohd. Akin berkata, serangan terbaharu dan tidak berhati perut Zionis Israel semalam, iaitu pengeboman Hospital Al-Ahli Al-Arabi sehingga meragut nyawa lebih 500 orang tidak dapat diterima sama sekali oleh mana-mana manusia yang bertamadun, berakal dan hati dan perasaan.

Katanya, perkara itu secara tidak langsung membangkitkan sokongan kepada Palestin oleh kuasa-besar dunia lain seperti Rusia dan China selain negara-negara Arab termasuk Malaysia dan Indonesia apabila mereka bersama menunjukkan peralihan sokongan kepada rakyat Palestin. 

“Malah Israel menerima kecaman oleh rakyatnya sendiri. Ini setelah dunia menyaksikan kekejaman Israel dan Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah yang melakukan serta bersubahat melakukan jenayah perang ke atas rakyat Palestin yang tidak masuk akal. 

“Kini mereka berdepan dengan kemarahan masyarakat dunia tidak mengira agama dan bangsa. PKR akan terus berdiri teguh bersama-sama seluruh rakyat Malaysia berusaha dan berdoa agar rakyat Palestin akan akhirnya bebas dari kejahatan penjajah Zionis Israel,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Shamsul Iskandar berkata, PKR mengecam sekeras-kerasnya kejahatan dan hipokrit Israel, Amerika Syarikat dan sekutu dan percaya semua pihak yang berpegang kepada prinsip keadilan, menghormati undang-undang antarabangsa sepatutnya mempunyai nilai kemanusiaan tidak dapat menerima jenayah pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin.

Katanya, strategi serangan Zionis Israel terhadap Semenanjung Gaza sebenarnya bermula lebih dari seminggu lalu bukan sahaja serangan bom tetapi hukuman secara kolektif dengan memutuskan bekalan air, elektrik dan makanan. 

“Semalam Israel telah meningkatkan tahap serangan dengan mengebom hospital tempat merawat orang awam yang cedera dan tempat perlindungan wanita dan kanak-kanak yang dijamin selamat oleh undang-undang antarabangsa. 

“Semua strategi perang ini bertujuan menjadikan Semenanjun Gaza tidak boleh didiami lagi atau “uninhabitable” seterusnya meningkatkan lagi tekanan dan suhu peperangan di rantau berkenaan,” katanya.

Menurut beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Presiden PKR telah berhubung dengan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh dalam menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi Malaysia kepada rakyat Palestin. 

“Terdahulu dalam sesi Dewan Rakyat pada Isnin lalu, Perdana Menteri memberi penerangan khas tentang situasi peperangan di Gaza serta langkah yang diambil oleh Kerajaan Malaysia ketika ini termasuk akan pergi ke Riyadh, Arab Saudi pada hari Khamis ini. 

“Selain dari bantuan sebanyak RM100 juta, Kerajaan Malaysia komited untuk membantu meraih lebih banyak sumbangan bagi usaha dan operasi kemanusiaan dan perubatan untuk rakyat Gaza,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya