SHAH ALAM: “Seminggu saya menangis. Kadang-kadang bercakap seorang diri kerana lagu Ayah, emosinya terlalu berat.”
Demikian luahan penyanyi bersuara emas, Azharina ketika diminta mengulas persembahannya semalam di pentas Gegar Vaganza All Stars yang mengundang pilu dan sedih penonton.
Menerusi lagu nyanyian asal Rino Harahap itu, Azharina yang merupakan peserta terakhir membuat persembahan berkata, biarpun karya legenda itu didengar santai, tetapi emosinya cukup besar.
“Dengar memang simple tetapi sebenarnya, setiap bait kata, setiap pergerakan ada makna. Lagu ini sendiri cukup dekat dengan saya. Susah sebenarnya saya mahu menyampaikan lagu Ayah ini.
“Saya teringat Allahyarham kedua atuk saya yang telah pergi. Banyak kenangan yang bermain di dalam fikiran ketika persembahan. Banyak sangat emosi yang saya simpan juga,” ujarnya kepada Utusan Malaysia.
Juara GV musim ketiga ini memperoleh tempat ketiga dengan markah 74.50 dan menerima komen positif daripada juri tetap, Hetty Koes Endang yang memuji lontaran emosinya di atas pentas.
Persembahannya juga turut membuatkan Hetty dan pengacara, Nabil Ahmad menangis kerana terkenang lelaki pertama dalam hidup masing-masing yang telah pergi ke negeri abadi.
Ditanya adakah dia berpuas hati dengan persembahannya, persembahan itu diibarat sebagai satu penghormatan dan penghargaan buat mereka yang telah pergi terlebih dahulu.
“Saya berpuas hati. Satu perkara yang sangat sukar untuk seorang penyanyi adalah menyampaikan emosi itu menusuk ke dalam hati pendengar.
“Macam bunda Hetty komen, mudah jika kita menyanyi untuk diri sendiri. Tetapi untuk kita buat pendengar merasa dan hayati nyanyian kita, itu sesuatu yang sangat sukar,”ujarnya.
Bakal membawakan lagu keroncong, Sayang Disayang (nyanyian asal Rubiah), penyanyi yang popular dengan lagu Elegi Sepi itu akan memberi persembahan di luar zon selesanya.
“Secocok dengan tema minggu hadapan, saya perlu cabar diri. Tak boleh selesa dan teruskan menggali ilmu serta teknik baharu. Ada rezeki, kita teruskan sehingga pentas akhir,”ujarnya.
Minggu kedua GV All Stars menyaksikan juara musim enam, Hady Mirza merangkul kedudukan pertama dengan markah 79 manakala dua peserta, Cliff Umar dan Suki Low tersingkir-UTUSAN