KUALA LUMPUR : Ke mana tumpahnya kuah, jika tidak ke nasi”. Begitulah falsafah yang ingin disampaikan oleh Persatuan Melodi Kenangan Artis dan Penggiat Seni Malaysia (Pemekar) melalui program Seloka Legenda Waris Seni yang akan diadakan di sebuah hotel di Ampang dekat sini 13 Oktober ini.
Pengerusi Pemekar Amran Nasrudin berkata, program itu bertujuan mengangkat dan mengerakkan aktiviti anak seni melalui ikon lakon, muzik, irama dan tari dalam membawa misi dan visi mengenal bintang dan tokoh seni muzik negara.
“Program ini akan memfokuskan aktiviti seni melalui sidang keilmuan konsep bual bicara bersama seniwati, seniman, biduan, biduanita berdasarkan lakonan filem, teater dan lagu-lagu kegemilangan mereka bermula dari 1950-an lagi.
“Program ini juga akan mengetengahkan kembali muzik dan lagu-lagu popular mereka dalam segmen persembahan pentas dan lagu oleh pewaris mereka melalui visual dari filem,” katanya.
Amran berkata, bahan-bahan yang diketengahkan diharap dapat memanfaatkan pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang mengambil jurusan seni.
“Memang hasrat kami agar program ini dapat membantu usaha mendokumentasikan bidang seni filem dan muzik sebagai bahan rujukan pelajar seni serta disimpan sebagai warisan sejarah,” tambahnya.
Amran berkata, antara yang terlibat dalam program ini ialah keluarga seniman Aziz Jaafar dan Normadiah, waris keluarga Saadiah dan Ahmad Daud, keluarga Husain Abu Hasan dan Mahyon Ismail, waris keluarga Sophia Ibrahim, serta waris keluarga Jamal Abdillah.
Untuk sebarang pertanyaan, hubungi Amran (019-3056928) atau Marnie Musa (017-3268068). –UTUSAN