KANGAR: “Kami sudah kenal lama, sejak 1992 lagi. Tetapi kami mula betul-betul rapat tiga tahun lalu. Malah, dua-dua pun pernah merasakan kehilangan. Susah senang, sihat sakit saling menemani.”
Itu reaksi pelakon dan pengarah tersohor, Sabri Yunus yang selamat mendirikan rumah tangga dengan aktress, Angeline Tan dalam satu majlis tertutup pagi semalam.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Sabri, 62, berkata, mereka sudah lama merancang untuk mendirikan rumah tangga namun menunggu kesediaan Angeline memeluk Islam.
“Alhamdulillah, awal Oktober hari itu dia memeluk Islam dan kami terus merancang untuk menikah hari ini,” ujarnya semalam.
Sabri dan Angeline mula berkenalan menerusi sitkom popular era 90-an, Pi Mai Pi Mai Tang Tu yang menampilkan mereka sebagai Lucy dan Wan Ismail Golok.
Dalam pada itu, Sabri juga bersyukur apabila anak dan keluarga kedua-dua belah pihak merestui niat mereka untuk mendirikan rumah tangga.
“Apa yang penting keredaan dia menerima agama baharu dan juga niat kami berdua untuk sama-sama melayari bahtera perkahwinan ini hingga akhir hayat,” ujarnya.
Kedua-dua pelakon itu dinikahkan oleh Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin di kediaman Mufti Perlis itu di Kangar kira-kira pukul 11 pagi yang dihadiri ahli keluarga dan rakan terdekat.
Pasangan berkenaan sah menjadi suami isteri dengan sekali lafaz dengan Angeline menerima mas kahwin seutas rantai emas.
Sementara itu, Mohd. Asri mengambil kesempatan mengalu-alukan Angeline yang baru memeluk agama Islam dan berharap keluaga Sabri dapat mengajarnya dan menunjukkan contoh yang baik.
“Agama adalah sesuatu yang baik, tidak memutuskan hubungan kekeluargaan dengan keluarga lama.
“Sebab itu peluk agama Islam di Perlis ini, dia tidak ada berbinti Abdullah, kekal dengan nama keluarga dia,” katanya.
Sabri pernah mendirikan rumah tangga dengan Norraya Mohd. Yusof dan mereka dikurniakan tiga cahaya mata. Norraya meninggal dunia pada Ogos 2007 akibat kanser manakala Angeline pula mempunyai dua orang anak hasil perkahwinan terdahulu. – UTUSAN










