Segera perkenal akta jerebu rentas sempadan

Segera perkenal akta jerebu rentas sempadan

YEO BEE YIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan Perpaduan digesa segera memperkenalkan Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (THA) selepas usaha itu terhenti gara-gara ‘Langkah Sheraton’. 

Bekas Menteri Tenaga, Sains, Teknologi dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata, jerebu rentas sempadan terutamanya di Indonesia, Malaysia, Singapura dan Brunei mendatangkan implikasi yang buruk terhadap alam sekitar, ekonomi, kesihatan awam dan kesejahteraan rakyat serantau. 

Menurut beliau, insiden jerebu boleh menyebabkan negara kerugian lebih RM 1 bilion mengambil kira kos ke atas sektor pelancongan dan perniagaan, kos memadam kebakaran dan operasi pembenihan awan, pembatalan jadual penerbangan dan acara sukan, kos kesihatan awam serta kemusnahan biodiversiti. 

“Selepas krisis jerebu pada 2019, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi dan Perubahan Iklim (MESTECC) pada masa itu menugaskan Akademi Sains Malaysia menjalankan kajian mengenai keperluan rangka kerja perundangan komprehensif untuk menangani pencemaran rentas sempadan dan menasihati kerajaan berkaitan keberkesanan undang-undang ini. 

“Pada 12 Februari 2020, Kabinet sudah membincangkan kajian ini dan pada dasarnya bersetuju memperkenalkan undang-undang itu. Namun, usaha itu terhenti selepas ‘Langkah Sheraton’,” katanya dalam kenyataan. 

Sebelum ini, Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC) dilapor mengesan lebih 2,000 titik panas di sekitar Kalimantan, Indonesia. 

Titik panas merupakan petunjuk kebakaran hutan dan tanah yang dikesan di suatu lokasi, selain mencatatkan suhu lebih tinggi berbanding suhu di sekitarnya.

Selain itu, beberapa kawasan mencatatkan indeks pencemaran udara (IPU) tidak sihat.

Bee Yin yang juga Ahli Parlimen Puchong berkata, beliau sebelum ini sudah menyuarakan pendirian kedua-dua kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Kerajaan Perpaduan ketika ini di Parlimen berhubung pembentangan THA, namun, kedua-dua kerajaan memberi jawapan negatif. 

“Mungkin mereka yang tidak bersetuju terlepas pandang bahawa akta THA boleh digunakan sebagai satu inisiatif untuk mencegah berlakunya jerebu melalui klausa seperti mewajibkan syarikat Malaysia berisiko menyebabkan jerebu dari luar negara menyediakan data satelit untuk semua premis mereka seperti ladang. 

“(Selain itu) menghendaki syarikat-syarikat mengisytiharkan pembelian tanah baharu di kawasan berisiko tinggi seperti ladang kelapa sawit di Indonesia dan mengisytiharkan cara tanah itu dibersihkan sebelum pembelian,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN