Sawit antara bidang dibincang semasa lawatan PM Belanda ke Malaysia

Sawit antara bidang dibincang semasa lawatan PM Belanda ke Malaysia

MARK RUTTE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perkembangan industri sawit antara Malaysia dan Belanda bakal dibincangkan ketika lawatan kerja Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte ke Malaysia dua hari bermula hari ini.

Ia adalah lawatan kedua beliau ke Malaysia selepas lawatan sulung pada tahun 2014 dan bakal mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim esok.

Menurut kenyataan Kementerian Luar, kedua-dua pemimpin dijangka menilai semula kemajuan hubungan dua hala, terutama kerjasama di dalam bidang perdagangan, pelaburan, pertukaran budaya, minyak sawit, pertanian dan agrikomoditi.

Katanya, ini termasuk isu Islamofobia serta meneroka bidang-bidang kerjasama baharu.

“Dalam pertemuan ini, kedua-dua pemimpin akan bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama dan diraikan Perdana Menteri dalam satu jamuan makan tengah hari,” katanya hari ini.

Wisma Putra berkata, Rutte turut mengadakan pertemuan bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi dan terlibat dalam acara simbolik penanaman pokok sawit yang melambangkan kerjasama erat kedua-dua negara dalam sektor minyak sawit.

Rutte juga dijadual menyampaikan ucaptama dan menyertai sesi dialog bersama Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi bin Nik Ahmad sewaktu Dialog Air Malaysia – Belanda ke-6.

“Dialog Air ini merupakan acara tahunan, anjuran bersama Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) dan Kedutaan Besar Belanda di Kuala Lumpur yang berfungsi sebagai platform untuk para pakar menangani pelbagai isu berkaitan air,” katanya.

Wisma Putra memaklumkan, Belanda merupakan rakan dagang ke-14 terbesar Malaysia dan kedua terbesar dalam Kesatuan Eropah dengan jumlah dagangan sebanyak RM48.04 bilion (AS$10.93 bilion) pada tahun lalu iaitu peningkatan sebanyak 33.4 peratus berbanding RM36.01 bilion (AS$8.68 bilion) pada tahun 2021.

Di samping itu, Belanda juga adalah pengimport minyak sawit Malaysia terbesar dalam kalangan negara-negara Kesatuan Eropah (EU) dengan kuantiti sebanyak 732,324.54 tan.

“Adalah besar harapan agar Belanda akan terus meningkatkan jumlah import minyak sawit dari Malaysia dan menyokong usaha Malaysia dalam mempromosikan pengeluaran minyak sawit yang mampan serta menangani persepsi negatif terhadap minyak sawit.

“Kementerian Luar yakin bahawa lawatan kerja ini akan memperkukuh lagi hubungan baik yang sedia terjalin di antara kedua-dua buah negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya