Roger Ng: PDRM siasat penjualan bon dipercayai dana 1MDB

Roger Ng: PDRM siasat penjualan bon dipercayai dana 1MDB

RAZARUDIN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng memfokus kepada modus operandi berkaitan penjualan bon dipercayai dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengenal pasti aset-aset dimiliki Roger dipercayai daripada dana 1MDB.

Katanya, pihaknya yakin soal siasat terhadap lelaki berusia 51 tahun itu akan membawa kepada maklumat-maklumat berkaitan penglibatan suspek lain termasuk suspek utama Low Taek Jho atau Jho Low.

“Tumpuan siasatan kita bagi mendapatkan semula aset antaranya akaun bank, kenderaan dan rumah.

“Kita juga perlu melihat apa modus operasi digunakan, macam mana bon-bon dijual serta berapa komisen yang ada. Itu yang perlu kita ketahui,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman di sini hari ini.

Pada 19 Disember 2018, Roger mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan bersubahat dengan Goldman Sachs berhubung penjualan bon 1MDB bernilai AS$6.5 bilion dengan menggugurkan fakta material dan membuat kenyataan palsu.

Beliau didakwa melakukan semua kesalahan itu di pejabat 1MDB, Tingkat 8, Menara IMC, Jalan Sultan Ismail di sini, antara 19 Mac 2012 hingga 11 November 2013.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, pihaknya telah menahan Roger semalam selepas tiba dari Amerika Syarikat (AS), Ahad lalu.

Jelas beliau, pihaknya menjalankan siasatan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA).

“Buat masa ini, keterangan Roger sedang diambil bagi membantu siasatan polis. Kita harap kerjasama yang baik diberikan.

“Kita dibenarkan lakukan siasatan tanpa sebarang had masa. Apabila kita dah berpuas hati kemudian akan serahkan kepada agensi lain antaranya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN