PETALING JAYA: Sejumlah RM1.1 bilion disediakan bagi menyelesaikan isu bekalan air di Kelantan, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, untuk negeri Kelantan, projek pembinaan Loji Rawatan Air Machang Fasa 1 berkapasiti 250 juta liter sehari akan dilaksanakan.
“Langkah ini akan dilaksanakan bagi meningkatkan rizab bekalan air dan paip simen asbestos juga diganti bagi mengurangkan kadar kehilangan air serta gangguan bekalan air ekoran paip bocor,” katanya ketika membentang Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata, sementara menunggu projek siap, sewaan lori tangki dan tangki statik akan ditambah bagi memastikan rakyat Kelantan mendapat bekalan air segera ketika berlaku gangguan.
Dalam pada itu, bagi mengatasi isu bekalan air di Kota Kinabalu, Sabah, infrastruktur serta peralatan bagi meningkatkan kapasiti loji rawatan air akan diganti manakala di Wilayah Persekutuan Labuan, penggantian paip usang serta membaik pulih infrastruktur air sedia ada akan dilakukan. – UTUSAN