GERIK: Seorang remaja lelaki cedera selepas motosikal yang ditunggangnya melanggar belakang kenderaan polis di persimpangan lampu isyarat Bandariang di Kilometer 4, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik Jeli, di sini hari ini.
Kejadian sekitar pukul 4.10 pagi itu mengakibatkan remaja berusia 18 tahun itu mengalami kecederaan patah kaki dan tangan kanan selain luka di kepala.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata, kejadian berlaku ketika kenderaan pasukan jenis Proton X70 dinaiki seorang pegawai kanan dan seorang anggota yang sedang bertugas itu berhenti di lampu isyarat.
Katanya, kenderaan itu kemudiannya dirempuh dari belakang oleh sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 ditunggang remaja terbabit.
“Pada masa sama, sebuah lagi motosikal ditunggang remaja berusia 17 tahun sempat mengelak daripada melanggar kenderaan pasukan namun terbabas melanggar bahu jalan sebelah kiri.
“Remaja tersebut mengalami luka di kedua-dua kaki manakala pemandu dan penumpang kenderaan polis tidak cedera,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, siasatan lanjut mendapati kedua-dua remaja berkenaan menunggang motosikal dalam keadaan laju dan hilang kawalan.
Katanya, siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara tidak cermat sehingga menyebabkan kemalangan jalan raya.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat kemalangan itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Zaidi Yasin di talian 013-4487374,” katanya. – UTUSAN










