KUALA LUMPUR: Panggilan telefon yang diterima seorang wanita mengatakan anaknya berusia 18 tahun diculik telah membongkar kejadian penipuan dalam talian.
Pada mulanya, wanita berkenaan dihubungi seorang lelaki yang tidak dikenali pada Selasa lalu meminta wang tebusan RM300,000 untuk pembebasan anaknya.
Wanita itu kemudiannya cuba menghubungi anaknya tetapi gagal menyebabkan dia kemudiannya membuat laporan polis.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Khas D9, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras berjaya mengesan mangsa di sebuah kondominium di Seksyen 7, Shah Alam.
Kata beliau, siasatan awal polis mendapati, remaja lelaki berkenaan bersembunyi di rumah berkenaan selepas dia diminta melakukan transaksi RM283,000 ke dalam beberapa akaun oleh sindiket penipuan.
Jelas beliau, kesemua wang berkenaan dipindah remaja lelaki menerusi tiga transaksi selepas dia menerima panggilan telefon dari seorang lelaki yang menyamar pegawai di Pos Laju Malaysia.
“Lelaki berkenaan menyatakan ada bungkusan milik mangsa yang menyalahi undang-undang sebelum dia diarahkan bercakap dengan seorang lagi individu yang menyamar sebagai pegawai kanan polis.
“Remaja lelaki berkenaan telah dituduh oleh suspek terlibat dalam aktiviti penggubahan wang haram dan kegiatan pengedaran dadah,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Tidak terhenti di situ, kata Mohd. Shuhaily, mangsa kemudiannya diarahkan untuk bercakap dengan seorang lagi lelaki yang menyamar pegawai polis atasan untuk membuat rayuan.
Kata beliau, mangsa yang terpedaya telah diarahkan untuk membayar sejumlah wang menerusi akaun bank yang diberikan suspek.
“Remaja berkenaan pada mulanya memasukkan RM80,000 pada 30 September lalu sebelum memasukkan sekali lagi sejumlah RM80,000 pada keesokannya di beberapa akaun.
“Pada 2 Oktober, remaja itu sekali lagi melakukan pindahan wang sebanyak RM80,000 dan kali terakhir RM43,000,” jelasnya.
Tambah beliau, mangsa juga telah diarahkan oleh suspek untuk menyembunyikan diri dan dilarang berhubung dengan sesiapa termasuk ahli keluarganya.
“Semasa dalam tempoh mangsa menyembunyikan diri, suspek turut menghubungi ahli keluarga mangsa dan mendakwa mangsa diculik bagi meminta wang tebusan.
Mengulas lanjut, Mohd. Shuhaily berkata, pihaknya kemudian berjaya menahan dua lelaki tempatan berusia 20-an sehingga 30-an di Pulau Pinang dan Kulim, Kedah dipercayai terlibat dalam kejadian itu.
Kata beliau, kedua-dua tangkapan kini direman sehingga 14 Oktober ini bagi siasatan lanjut.
“Orang ramai diingatkan agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah percaya dengan sebarang panggilan telefon diterima daripada mana-mana individu atau agensi kerajaan,” katanya. – UTUSAN