PRK Kemaman: BN atau Pas yang patut bertanding?

PRK Kemaman: BN atau Pas yang patut bertanding?

AHMAD Said (kanan) dan Razali Idris
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mahu Barisan Nasional (BN) tidak bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman pada 2 Disember ini namun UMNO pula menegaskan Pas yang sepatutnya melupakan kerusi berkenaan.

Barisan Nasional (BN) disaran menarik diri daripada bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman pada 2 Disember depan bagi mengelak kekalahan memalukan dalam PRK Parlimen Kuala Terengganu pada Ogos lalu.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris berkata, rakyat sudah memberi isyarat jelas menolak Barisan Nasional (BN) dalam PRK Kuala Terengganu pada Ogos lalu dan situasi sama akan berulang lagi di Kemaman nanti.

Menurutnya, PN optimis calon Pas akan melakar kemenangan dengan majoriti yang jauh lebih besar berbanding Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

“Inilah masanya untuk UMNO mengutamakan kepentingan rakyat yang akan berdepan banjir dalam musim tengkujuh.

“Dalam keadaan sekarang, apakah yang lebih penting untuk BN? Sama ada rakyat atau teruskan PRK sedangkan keputusan PRK Parlimen Kemaman sudah boleh dijangka,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK Parlimen Kemaman pada 2 Disember depan manakala tarikh penamaan calon pula pada 18 November ini.

Pada keputusan PRU-15 November lalu, Che Alias yang mewakili Pas menang kerusi Parlimen Kemaman dengan majoriti 27,179 undi selepas memperoleh sebanyak 65,714 undi sekali gus menewaskan Pengerusi UMNO negeri, Datuk Seri Ahmad Said yang memperoleh undi sebanyak 38,535.

Dua lagi calon yang bertanding dalam Parlimen itu, Rosli Ab Ghani (Pejuang) dan Hasuni Sudin (PH) masing-masing mendapat 506 dan 8,340 undi.

Dalam pada itu, Razali berkata, sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal yang berada dalam Parlimen Kemaman, beliau akan memastikan kerusi itu kekal menjadi milik PN.

Sementara itu Ahmad membidas kenyataan Razali dan menegaskan, Pas yang sepatutnya menarik diri selepas Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan PN kerana unsur rasuah.
“Mereka sepatutnya berasa malu sebab bagi duit waktu undi,” katanya.

Bekas Menteri Besar itu berkata, pilihan raya adalah permainan yang adil untuk semua jika pemain mematuhi peraturan dan tidak akan ada rasa malu untuk kalah.

Menurutnya, BN pernah memenangi kerusi tersebut sebelum ini dan tidak mustahil rakyat sekali lagi memilih mereka. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×