Polis turut siasat kes rogol remaja terlibat kemalangan maut

Polis turut siasat kes rogol remaja terlibat kemalangan maut

FISOL Salleh (tengah) pada sidang akhbar di IPK Kedah, Alor Setar. -UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Siasatan polis terhadap kemalangan maut membabitkan seorang remaja perempuan yang memandu kereta hingga menyebabkan kematian seorang wanita, Ahad lalu membawa kepada pendedahan kes rogol melibatkan remaja terbabit yang berusia 14 tahun.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, remaja terbabit mengaku pernah mengadakan hubungan sulit dengan dua lelaki sebelum ini dan berikutan dia masih di bawah umur, polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, polis telah menahan seorang suspek pada malam tadi dan sedang memburu seorang lagi lelaki yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes rogol tersebut.

“Kami membuka dua kertas siasatan membabitkan remaja itu. Pertama di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 berhubung kes kemalangan maut yang berlaku pada 22 Oktober lalu.

“Kes kedua berkaitan jenayah rogol selepas remaja itu mendakwa pernah melakukan hubungan seks dengan dua lelaki pada awal tahun ini dan beberapa hari sebelum kemalangan tersebut berlaku,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Dalam kejadian pukul 7.05 petang, Ahad lalu, seorang wanita, Nur Shafiqah Abdullah, 32, maut setelah motosikal dinaiki bersama kakaknya, Nooraliza, 43, dirempuh kereta jenis Proton Satria dipandu remaja terbabit.

Siasatan mendapati, kereta milik rakan kepada ibu remaja berkenaan terlebih dahulu hilang kawalan lalu terbabas ke pembahagi jalan sebelum memasuki laluan bertentangan sehingga bertembung dengan motosikal dinaiki mangsa.

Mengulas berkaitan kemalangan itu, Fisol berkata, ujian saringan air kencing dijalankan terhadap remaja tersebut mendapati dia negatif dadah dan pihak polis turut memanggil ibunya bagi membantu siasatan terhadap kejadian itu.

“Remaja tersebut kini berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Kami akan melengkapkan siasatan sebelum menyerahkan kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan lanjut,” katanya.

Dalam pada itu Fisol berkata, Polis Kedah sehingga kini menerima lebih 140 kes rogol melibatkan remaja bawah umur di negeri ini, pada tahun ini.

“Apabila siasatan dijalankan, didapati hubungan yang berlaku itu kebanyakkan adalah secara suka sama suka. Namun disebabkan kejadian melibatkan remaja bawah umur, maka kes diklasifikasikan sebagai rogol.

“Ini masalah sosial yang berlaku dalam masyarakat kita. Disebabkan itu, saya meminta semua pihak terutama keluarga, masyarakat dan jabatan berkaitan agar memberi perhatian terhadap anak-anak muda kita,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN