AMPANG: Tindakan seorang lelaki melarikan diri daripada Sekatan Jalan Raya (SJR) akhirnya membongkarkan kegiatannya yang memiliki 19 pasport milik orang lain disyaki palsu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.45 malam itu, lelaki warga asing berkenaan yang menunggang motosikal cuba merempuh SJR itu namun dapat diberkas Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ampang Jaya.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komersial Mohd. Azam Ismail berkata, pemeriksaan terhadap penunggang motosikal itu mendapati dia tiada lesen memandu dan dokumen pengenalan diri yang sah.
Katanya, pemeriksaan lanjut dalam beg galas di belakang badan suspek menemukan 14 pasport Bangladesh dan lima pasport Indonesia milik orang lain disyaki palsu.
“Lelaki tersebut telah ditahan untuk siasatan lanjut dan semakan mendapati suspek tiada rekod jenayah lampau serta saringan air kencing adalah negatif dadah.
“Suspek ditahan reman empat hari bermula hari ini sehingga Sabtu ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, kes disiasat di bawah seksyen 186 Kanun Keseksaan yang merujuk kepada menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
“Siasatan juga dilakukan di bawah Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 iaitu tanpa kuasa yang sah, ada dalam milikannya mana-mana pasport orang lain,” katanya. – UTUSAN