PNK Kuala Besut ternak ikan jenahak, merah dalam sangkar  - Utusan Malaysia

PNK Kuala Besut ternak ikan jenahak, merah dalam sangkar 

MUHAMMAD Faiz Fadzil (kiri) melawat sangkar ternakan ikan jenahak dan merah dalam sangkar yang diusahakan PNK Kuala Besut, Besut, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuala Besut berjaya memasarkan sebanyak 700 kilogram ikan jenahak dan merah yang diternak dalam sangkar di perairan dekat sini.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil berkata, hasil tangkapan ikan tersebut yang bernilai RM18,000 itu merupakan keluaran pertama sejak diusahakan pada Mac lalu.

Menurutnya, hasil ikan ternakan itu akan dijual kepada pengguna menerusi Program JUalan MyAquaBest di Kompleks LKIM Kuala Besut.

“Ikan jenahak dan merah itu diternak dalam 12 buah sangkar melibatkan modal kos sebanyak RM80,000.

“Jumlah sangkar dan ikan yang diternak dalam projek tersebut akan ditambah dari semasa ke semasa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jualan MyAquaBest bertempat di Kompleks Perikanan LKIM Kuala Besut, di sini, hari ini.

Muhammad Faiz memberitahu, pelaksanaan Jualan MyAquaBest merupakan  sebagai salah satu program cepat dan berkesan dalam membantu usahawan memasarkan produk secara terus kepada pengguna.

Tambahnya, program jualan itu juga secara langsung dapat mengurangkan kos sara hidup rakyat terutama dalam komponen makanan melalui harga penjimatan 10 peratus hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran setempat.

“LKIM menyasarkan lapan lokasi penganjuran MyAquaBest di seluruh negara pada tahun ini melibatkan penyertaan lapan PNK sebagai pemasar.

“Lapan PNK terlibat ialah PNK Satang Biru, Sarawak, PNK Jasi, Melaka, PNK Besut, PNK Kijal, Terengganu, PNK Sedili, Johor, PNK Kerian, Perak serta Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nikmat) dan Persatuan Negeri Melaka,” ujarnya.

Beliau menambah, LKIM menyarankan nelayan lebih proaktif dengan menyahut usaha kerajaan dalam membawa agenda keterjaminan makanan dengan menceburi bidang akuakultur yang dilihat dapat membantu nelayan meningkatkan pendapatan sekaligus dapat meningkatkan taraf sosioekonomi nelayan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya