KUALA LUMPUR: Pelaburan Hartanah Bhd. (PHB) membuat penambahan satu bilion unit Skim Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) untuk ditawarkan bagi langganan umum sekali gus meningkatkan komitmennya dalam membuka ruang lebih ramai bumiputera mempunyai pemilikan benefisial di pasaran hartanah di lokasi utama seluruh Malaysia.
Pengerusi PHB, Tan Sri Ahmad Nizam Salleh berkata, sejak penubuhannya pada tahun 2010 dengan unit permulaan sebanyak 1 bilion unit dan saiz unit AHB ditingkatkan sebanyak empat kali sebelum ini.
Menurutnya, penambahan terbaharu ini adalah kali kelima menjadikan jumlah unit terkumpul AHB sebanyak lima bilion unit.
“Dalam tempoh 17 tahun pengoperasian, PHB terus komited dalam usaha untuk mengenal pasti dan memperoleh hartanah komersial utama di bandar prima di seluruh Malaysia.
“Sehingga kini, PHB mempunyai aset bernilai sekitar RM11 bilion. Dengan pertumbuhan aset yang memberangsangkan dan pendapatan yang lestari, AHB berjaya membuat pembayaran dividen sejumlah RM1.97 bilion kepada pemegang unit amanah, sejak pelancarannya,” katanya selepas majlis pelancaran unit tambahan Skim Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) di sini hari ini.
Majlis dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera (YAHB), syarikat induk kepada PHB.
Mengulas lanjut, Ahmad Nizam berkata, pada tahun ini, PHB merangka Pelan Transformasi Perniagaan dengan penekanan utama terhadap empat aspek penting iaitu mempelbagaikan portfolio, memperkukuhkan tata kelola, kecekapan pengurusan risiko dan menambah baik keupayaan modal insan.
Beliau berkata, transformasi itu bertujuan untuk menambah baik prestasi syarikat dan memastikan kelestarian perniagaan
“Berpaksikan hala tuju pelan transformasi tersebut, PHB menyasarkan nilai aset keseluruhannya akan meningkat kepada RM25 bilion menjelang tahun 2030.
“Sebahagian daripada pelan perniagaan untuk 2024, PHB berhasrat untuk memastikan bahawa peluang pelaburan akan menjadi lebih terbuka kepada pelabur kecil dan juga kelompok berpendapatan rendah bumiputera.
“PHB juga sedang mengadakan pelbagai program baharu untuk menggalakkan golongan muda supaya menguruskan kewangan mereka secara terancang untuk persediaan masa depan yang lebih teratur melalui AHB,” katanya.
Antara aset PHB adalah Hospital Pakar KPJ Damansara 2 di Kuala Lumpur, Marlborough College di Iskandar Puteri dan penilaian semula bangunan Menara 1 Sentrum di Kuala Lumpur, Wisma Consplant di Subang Jaya dan Maersk Warehouse di Shah Alam.-UTUSAN