PETALING JAYA: Kerajaan digesa tidak melonggarkan syarat-syarat sedia ada bagi permohonan program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) untuk warga asing menetap di negara ini, bagi mengelak kegiatan pengintipan berlaku.
Pelonggaran syarat-syarat sedia ada dilihat bercanggah dengan keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mahu mengetatkan syarat tapisan peserta MM2H, kerana ada yang lulus permohonan namun terlibat aktiviti pengintipan.
Berdasarkan jawapan bertulis Dewan Rakyat, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) memberitahu, sebanyak 1,905 permohonan MM2H diluluskan antara November 2021 hingga 30 September lalu manakala 2,100 permohonan diterima sepanjang tempoh itu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis jenayah, Shahul Hamid Abdul Rahim mahu pelonggaran syarat-syarat sedia ada dijamin tidak akan mengundang aktiviti pengintipan pada masa akan datang.
“Isu ini tidak boleh dikompromi, pihak keselamatan yang membuat tapisan mesti serius supaya tiada seorang terlepas selepas penapisan dijalankan, namun, akhirnya menjadi pengintip dan membuat kacau di negara ini.
“Kegiatan pengintipan boleh dilakukan dengan pelbagai cara, sebab itu pihak berkuasa dan rakyat harus berhati-hati. Bukan melibatkan program MM2H sahaja, malah setiap pekerja asing, golongan ekspatriat mesti jalani tapisan jika menetap dalam negara.
“Saya tidak menafikan ada sudut positif di sebalik program ini, malah ada juga peserta menunjukkan sikap yang baik, namun masih perlu berhati-hati. Kita tidak mahu negara terlalu terbuka sehingga diancam keselamatan.
“Mungkin kerajaan boleh permudah permohonan peserta dari segi bayaran deposit, tetapi tidak dari aspek keselamatan, kita tidak punya banyak pilihan,” katanya ketika dihubungi.
Semasa pembentangan Belanjawan 2024, 13 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan melonggarkan syarat-syarat sedia ada bagi permohonan MM2H untuk meningkatkan kedatangan pelancong dan pelabur asing.
Namun dalam sidang Dewan Rakyat, Jun lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan memberi syarat ketat menapis peserta MM2H kerana ada yang lulus permohonan namun terlibat kegiatan pengintipan.
Pada 22 Mac 2021, Utusan Malaysia melaporkan, kemelut diplomatik Malaysia-Korea Utara ketika itu berpunca daripada individu bernama Mun Chol-myong ‘membongkar’ isu kelemahan sistem keselamatan program MM2H.
MM2H diperkenal KDN bagi menggalakkan lebih ramai peserta dari negara luar atau warga asing menetap di sini sekali gus mendorong pengaliran masuk mata wang asing.
Program diperkenal pada 2002 hingga 2019 itu merangsang ekonomi negara berjumlah RM11.89 bilion secara kumulatif menerusi fi visa, pembelian hartanah, pembelian kenderaan persendirian, simpanan tetap dan perbelanjaan isi rumah.
Pada Ogos 2021, kerajaan mengaktifkan semula program itu dengan beberapa syarat tambahan antaranya peserta wajib berada di negara ini sekurang-kurangnya 90 hari kumulatif setahun, mempunyai pendapatan luar pesisir sekurang-kurangnya RM40,000 sebulan berbanding hanya RM10,000 sebelum ini.
Namun kini peserta dikenakan syarat tambahan antaranya perlu mempunyai akaun deposit tetap minimum RM1 juta dengan 50 peratus pengeluaran maksimum dibenarkan untuk tujuan membeli hartanah, perbelanjaan kesihatan dan pendidikan anak.
Sebelum ini seramai 1,461 peserta MM2H menarik diri daripada program itu antara September 2021 hingga Jun lalu. – UTUSAN










