Perak lancar kempen galak rakyat tanam, makan sayur - Utusan Malaysia

Perak lancar kempen galak rakyat tanam, makan sayur

MOHD. Zolkafly Harun (dua dari kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan menanam sayur pada program Hari Ladang Daerah Larut Matang Selama di Taiping hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS .
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING: Kerajaan negeri melancarkan ‘Kempen Makan Sayur-sayuran’ yang menggalakkan rakyat menjadikan sayur sebagai hidangan wajib, sekaligus membantu pekebun menambah pengeluaran dan pendapatan serta menstabilkan harga sayur.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd. Zolkafly Harun berkata, di bawah  kempen itu, kerajaan negeri memperuntukkan RM900,000 menerusi Jabatan Pertanian negeri untuk pembangunan tanaman sayur.

Menurutnya, kempen itu dapat membantu para pekebun sayur menerusi pemberian bantuan baja, racun perosak dan penyediaan kawasan serta pembangunan infrastruktur untuk menanam sayur.

Menurutnya, bantuan itu diberikan kepada 66 pekebun sayur di negeri ini melibatkan 94.56 hektar tanah yang diusahakan.

“Kempen Makan Sayur-sayuran ini bertujuan menggalakkan rakyat menjadikan sayur-sayuran sebagai makanan wajib bagi semua peringkat umur.

“Kempen ini juga secara tidak langsung membantu meningkatkan permintaan sayur-sayuaan di pasaran dan ini dapat menstabilkan harganya di peringkat ladang dan peruncit seterusnya menyumbang pendapatan kepada petani,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada perasmian Kempen Makan Sayur-sayuran peringkat negeri dan Hari Ladang Daerah Larut Matang Selama di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Perak, Norsiyenti Othman.

Mohd. Zolkafly berkata, program itu juga memberi manfaat kepada seramai 1,439 peserta merangkumi komuniti kampung, surau, masjid, sekolah dan pelbagai institusi.

“Jabatan Pertanian Perak menggerakkan ‘Kempen Kebun Kita’ yang kini dijenamakan semula sebagai ‘Program Pembangunan Pertanian Komuniti’ bagi menggalakkan rakyat mengusahakan tanaman sayur sendiri bagi mengimbangi kenaikan harga sayur di pasaran,” katanya.

Sementara itu Mohd. Zolkafly berkata, pengeluaran sayur di Perak bagi tahun 2022 ialah sebanyak 116,764 metrik tan, melibatkan keluasan 6,702 hektar.

“Daerah Kinta merupakan pengeluar terbesar sayur-sayuran di Perak dengan penghasilan 69,372 metrik tan melibatkan kawasan tanaman seluas 3,881 hektar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya