SEREMBAN: Tindakan segelintir penduduk yang meletak dan meninggalkan barangan lama milik mereka dan sampah pukal di kawasan koridor dan tangga menimbulkan rungutan penghuni lain di Rumah Pangsa Taman Templer di sini.
Sikap tidak bertanggungjawab termasuk meletakkan barangan bersaiz besar seperti kabinet dan sofa lama itu mendatangkan rasa tidak selesa malah turut dikhuatiri memberi risiko keselamatan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lobak, Chew Seh Yong berkata, ia bukan perkara baharu malah aduan sama telah berulang kali diterimanya.
“Ada yang simpan barang-barang lama di tepi koridor dan tangga. Bukan hanya sofa dan kabinet malah barangan lain seperti tayar juga ada di situ.
“Ini menghalang laluan penduduk dan masalah besar boleh timbul jika berlaku kebakaran dan insiden kecemasan lain kerana laluan koridor jadi sempit.
“Saya sudah minta kerjasama penduduk terlibat dan mereka diberikan masa membersihkan semula kawasan itu atau tindakan penguatkuasaan boleh diambil,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Katanya, masalah sama turut berlaku di beberapa buah rumah pangsa lain.
“Antara punca adalah kerana penduduk sudah tidak mempunyai ruang mencukupi dalam rumah mereka untuk menyimpan barang-barang tersebut.
“Masalah juga timbul apabila penduduk terlibat yang merupakan warga emas, mereka sudah tidak larat untuk membuang sampah-sampah pukal tersebut ke kawasan yang sepatutnya,” katanya. – UTUSAN










