Peruntukan seimbangkan pembangunan Sabah Semenanjung

Peningkatan peruntukan seimbangkan pembangunan Sabah, Semenanjung

HAJIJI Noor (kiri) bersama Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Masidi Manjun semasa menyaksikan pembentangan Belanjawan 2024 di Menara Kinabalu, hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Peruntukan pembangunan berjumlah RM6.6 bilion kepada Sabah dalam Belanjawan 2024 dilihat sebagai manifestasi dukungan kerajaan perpaduan dalam membantu menyeimbangkan pembangunan antara wilayah Sabah dan Semenanjung Malaysia.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, peningkatan peruntukan sebanyak RM100 juta itu adalah sebahagian usaha kerajaan Persekutuan dalam memenuhi pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Kerajaan negeri Sabah menyambut baik dan mengalu-alukan penyediaan peruntukan tersebut dan bertekad untuk menjadikannya inspirasi apabila kita membentangkan Belanjawan negeri Sabah 2024 tidak lama lagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga menyifatkan Belanjawan 2024 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini sebagai ‘Belanjawan Merakyat’ kerana meletakkan kepentingan rakyat sebagai fokus dan teras keutamaan.

Katanya, inti pati Belanjawan 2024 jelas menunjukkan komitmen kerajaan perpaduan menjurus ke arah mengurangkan kemiskinan dan merapatkan jurang pendapatan di negara ini.

“Pengawalan kos sara hidup dan peningkatan pendapatan khususnya bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana menjadi tumpuan Belanjawan 2024. Inilah yang saya maksudkan sebagai belanjawan merakyat,” katanya.

Menurut Hajiji, belanjawan kedua yang dibentangkan sejak Anwar mengambil alih teraju pemerintahan itu menunjukkan wilayah Borneo terus digerakkan dalam arus pembangunan negara apabila Sarawak turut diberikan peruntukan berjumlah RM5.8 bilion.

Beliau berkata, dasar fiskal yang lebih baik dan progresif yang diperkenalkan menerusi Belanjawan 2024 ini, akan membawa impak besar kepada Sabah dalam usaha untuk membangunkan ekonomi negeri ini dan menarik pelaburan asing.

“Kita melihat dasar yang diperkenalkan menerusi Belanjawan 2024 ini sebagai amat inklusif, dengan mengambil kira keadaan ekonomi global,” katanya.

Beliau berkata, Sabah akan terus berusaha memperkasa pertumbuhan bagi menggalakkan perdagangan dan pelaburan.

Jelas beliau, inti pati Belanjawan Madani 2024 itu akan diambil kira dan disesuaikan dengan teras hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) menerusi Belanjawan negeri Sabah 2024 nanti.

Dalam pada itu, Anwar turut mengumumkan Pemberian Khas Interim Sabah dan Sarawak dinaikkan kepada RM300 juta.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya