PONTIAN : Seorang penghantar barang maut selepas motosikal ditunggang bertembung sebuah kereta Toyota Camry dalam kemalangan di Kilometer 69.9, Jalan Johor Bahru-Batu Pahat berhampiran Kampung Sungai Naga, Api-Api, di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 3.15 petang itu melibatkan Muhammad Firdaus Mohd Sukaini, 24, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15.
Katanya, hasil siasatan awal kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu kenderaan Toyota Camry ingin keluar dari simpang Kampung Sungai Naga hendak membelok ke arah Pontian, tiba-tiba motosikal yang ditunggang mangsa terlanggar bahagian depan kereta Toyota Camry yang dipandu seorang wanita berusia 64 tahun.
“Akibat dari pelanggaran tersebut, penunggang motosikal telah terjatuh dan mengalami kecederaan serta telah dihantar ke Hospital Pontian sebelum dirujuk kepada Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru
“Bagaimanapun pada pukul 7.45 malam kelmarin mangsa telah meninggal dunia akibat mendapat kecederaan parah di bahagian dalaman di wad kecemasan hospital terbabit,” katanya dalam kenyataan di sini.
Tambahnya, pemandu wanita itu tiada mengalami kecederaan.
“Kejadian berlaku di jalan lurus dua hala, garisan berkembar sebagai pembahagi jalan serta permukaan jalan kering serta kejadian berlaku pada siang,” ujarnya.
Katanya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk mengenal pasti punca kejadian sebenar.UTUSAN










