Pengarah syarikat rugi lebih RM7 juta selepas melabur dalam

Pengarah syarikat rugi lebih RM7 juta selepas melabur dalam mata wang kripto

RAMLI Mohamed Yoosuf ketika bercakap pada sidang media mengenai jenayah atas talian yang diadakan di Menara KPJ, Kuala Lumpur pada pagi ini. UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Gara-gara menceburi pelaburan mata wang kripto, seorang pengarah syarikat kerugian lebih RM7 juta selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan itu sejak Julai lalu. 

Mangsa berusia 52 tahun itu dikatakan menyertai kelas dalam talian berkaitan pasaran stok pada Jun lalu. 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yusoof berkata, lelaki itu kemudiannya dinasihatkan melabur menggunakan platform ‘Yoamex’ dan membuka akaun pada Julai lalu dengan jumlah keseluruhan pelaburan RM7.1 juta. 

“Melalui laman sesawang pelaburan itu, mangsa dapat melihat akaunnya menjana keuntungan sehingga RM65.58 juta atau AS$13.7 juta.

“Namun, selepas itum, dia dimaklumkan tidak dapat membuat pengeluaran pelaburan itu kerana didakwa terdapat siasatan sedang dijalankan di bawah pengubahan wang haram,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kata beliau, mangsa juga diminta membuat bayaran tambahan sebanyak lima peratus daripada jumlah keuntungan pelaburan iaitu RM3.2 juta atau AS$683,893.

Dalam pada itu, Ramli berkata, satu lagi kes diterima pihak polis membabitkan pelaburan mata wang kripto membabitkan kerugian RM2.75 juta membabitkan seorang pesara tentera berusia 75 tahun. 

Katanya, mangsa tertarik dengan iklan pelaburan mata wang kripto yang dilihatnya pada iklan di Facebook pada Mei lalu sebelum dihubungi individu selepas menekan pautan iklan berkenaan. 

“Seorang individu memperkenalkan diri sebagai penasihat pelaburan itu kemudian menawarkan pakej pelaburan menjanjikan pulangan tinggi dalam masa beberapa hari. 

“Dalam kes ini, mangsa juga hanya dapat melihat keuntungan diraih secara dalam talian menerusi laman sesawang, namun tidak dapat membuat sebarang pengeluaran wang,” jelasnya.

Tambah Ramli, satu lagi kes diterima adalah membabitkan seorang ahli perniagaan berusia 19 tahun yang kerugian RM1.43 juta apabila menyertai pelaburan yang diiklankan menerusi Instagram pada Mei lalu. 

Katanya, mangsa tertarik dengan pakej pelaburan itu yang bernilai antara RM2,800 hingga RM6,738 setiap slot dengan keuntungan ditawarkan sehingga RM70,000 dalam tempoh tiga bulan. 

“Mangsa kemudian membeli sebanyak 54 slot pelaburan tetapi tidak menerima keuntungan dijanjikan.

“Mangsa juga diminta membuat bayaran RM431,000 bagi mengupah pengawal keselamatan untuk mengiringi penghantaran wang tunai sebanyak RM60 juta kepadanya,” jelasnya.

Namun, kata Ramli, selepas bayaran dibuat, wang tunai dijanjikan tidak diterima oleh mangsa. 

Dalam kes berasingan, seorang ahli perniagaan berusia 40 tahun yang kerugian RM1.17 juta dalam urusan pembelian alat pemancar FM. 

Jelasnya, mangsa berurusan dengan sebuah syarikat di Amerika Syarikat bagi urusan berkenaan dan hasil perbincangan, pihaknya diminta membuat pembayaran sebanyak RM1.17 juta ke dalam satu akaun bank diarahkan. 

“Selepas pembayaran dibuat, pengadu menghubungi syarikat terbabit, namun, dimaklumkan invois diterima oleh syarikat mangsa adalah palsu. 

“Semakan dilakukan mendapati alamat email yang berurusan dengan syarikat pengadu adalah berbeza dengan dua huruf berbanding alamat sebenar syarikat terbabit,” katanya. 

Kata Ramli, laporan empat kes berkenaan diterima pihaknya pada minggu lalu dengan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN