Penerbangan Emirates, Batik Air jalin kerjasama kongsi kod

Penerbangan Emirates, Batik Air jalin kerjasama kongsi kod

ANTHONY LOKE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Syarikat Penerbangan Emirates dan Batik Air Malaysia mengumumkan perjanjian perkongsian kod, yang membolehkan penumpang Emirates mengakses lima bandar domestik Malaysia dan tiga titik serantau Asia Tenggara yang dikendalikan oleh Batik Air melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). 

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pelancaran dan perkongsian strategik antara Emirates dan Batik Air menekankan pelbagai peluang yang ditawarkan kepada pelancong di seluruh dunia.

“Kami gembira dengan kerjasama ini yang berpotensi mengukuhkan peranan Malaysia sebagai pintu masuk utama ke rantau ini. 

“Kami juga berharap dapat melihat peningkatan trafik KLIA, terutamanya untuk memudahkan kesalinghubungan ke destinasi serantau,” katanya semasa berucap melancarkan kerjasama Perkongsian Kod Antara Emirates dan Batik Air di sebuah hotel di sini, hari ini.

Kerjasama yang dipertingkatkan itu adalah inisiatif Naib Presiden Kanan Emirates, Operasi Komersial (Timur Jauh), Orhan Abbas dan Pengarah Strategik Kumpulan Batik Air. Datuk Chandran Rama Muthy, 

Selaras dengan perjanjian itu, Emirates akan meletakkan kodnya pada penerbangan kendalian Batik Air ke Pulau Pinang, Kuching, Kota Kinabalu, Langkawi, Johor Bahru, Denpasar, Jakarta dan Singapura dengan menawarkan penumpang pengalaman perjalanan yang lancar semasa mereka menyambung ke destinasi baharu menggunakan tiket tunggal dan polisi bagasi mudah.

Emirates juga akan mendapat akses ke lapan destinasi tambahan yang dikendalikan oleh Batik Air melalui Kuala Lumpur untuk pemindahan antara talian.

Tambah Orhan, Malaysia ialah destinasi penting dalam rangkaian Timur Jauh mereka dan pihaknya berbesar hati menawarkan peningkatan ketersambungan dan lebih banyak pilihan untuk pelanggan Emirates ke destinasi baharu dan menarik.

“Kami akan mengembangkan lagi rangkaian kami menjangkau lebih 1,490 bandar di seluruh dunia dan berharap dapat bekerjasama rapat dengan rakan kongsi kami Batik Air dalam menawarkan pilihan yang lebih baik dan pengalaman yang lebih mudah untuk pengembara,” katanya.

Sementara itu, Chandran berkata, inisiatif ini bukan sahaja memperkukuh ketersambungan rangkaian Batik Air tetapi juga memberi peluang kepada pengembara Emirates menerokai destinasi baharu yang menawan di Malaysia dan Asia Tenggara.

“Kami berbangga menjadi sebahagian daripada pakatan strategik ini bagi mengembangkan lagi jejak kami dan menawarkan fleksibiliti dan kemudahan kepada penumpang kami yang dihargai.

“Perkongsian ini menggariskan komitmen kami terhadap kecemerlangan dan kami berharap dapat mengalu-alukan pelancong dari seluruh dunia untuk mengalami gabungan unik perkhidmatan Emirates dan Batik Air,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN